1. DAPSY Kebangsaan mengambil maklum ketegasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi untuk terus bersama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Dengan itu, gimik “keluar kerajaan” yang dimainkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh dalam beberapa hari ini terbukti adalah bahan lawak politik yang memalukan diri sendiri.
2. Sekiranya Akmal Saleh benar-benar berprinsip, dia boleh meletakkan jawatan EXCO serta-merta tanpa perlu menunggu lagi. Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat.
3. Kenyataan Presiden UMNO bahawa UMNO “tidak mahu dipatuk ular sama kali kedua” telah menutup ruang spekulasi rundingan UMNO-PAS. Tafsiran songsang Akmal Saleh kononnya “Presiden UMNO bersetuju kerjasama penyatuan orang Melayu” jelas merupakan cubaan mengelirukan rakyat dan tidak menghormati pendirian parti sendiri.
4. Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS adalah sebuah gabungan parti yang gagal menampilkan dasar konstruktif, sebaliknya terus memainkan politik perkauman dan keagamaan. Dalam perihal yang berkaitan dengan dasar negara khususnya kos sara hidup dan reformasi institusi, PAS hanya membantah tanpa solusi.
5. Konflik dalaman PN yang kian ketara antara Bersatu dan PAS sekali lagi membuktikan bahawa politik sebegini yang tidak berasakan tadbir urus akhirnya memakan diri. Negara kita memerlukan parti politik yang menjamin kestabilan dan kecekapan, bukan PN yang memecahbelahkan.
6. DAPSY ingin mengingatkan bahawa pengalaman tahun 2020–2022 jelas menunjukkan “penyatuan” bersama antara UMNO-PAS-Bersatu telah membawa ketidakstabilan dan kerugian kerusi kepada UMNO sendiri. Sebarang usaha untuk mengulangi langkah sama hanyalah mengkhianati mandat rakyat dan menjejaskan masa depan parti sendiri.
7. DAPSY menegaskan bahawa fokus utama kini adalah untuk memacu pemulihan ekonomi, meringankan kos sara hidup dan meneruskan reformasi. Rakyat tidak berminat dengan drama perebutan kuasa, dan hanya perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu bekerja.
8. Akmal Saleh harus letak jawatan segera dan laksanakan pendirian yakni keluar kerajaan perpaduan. Jangan cakap tidak serupa bikin.