Pembinaan sebuah Zon Kewangan Khas (SFZ) di Pulau Pinang mampu membawa kembali pelaburan ke Pulau Pinang yang telah turun daripada lima buah negeri tertinggi untuk separuh tahun pertama 2022 dan 2023. Malaysian Investment Development Authority (MIDA) melaporkan bahawa Malaysia telah menarik sejumlah RM132.6 bilion (US$28.3 bilion) pelaburan daripada Januari hingga Jun 2023.
Pelaburan-pelaburan ini termasuklah pelaburan sektor perkhidmatan (RM82.4 bilion), sektor pembuatan (RM44.9 bilion) dan sektor utama (RM5.3 bilion) yang merangkumi 2,651 projek dan mampu menjana 51,853 peluang pekerjaan. MIDA melaporkan bahawa sejumlah 2,651 projek yang diluluskan daripada pelaburan separuh pertama 2023 ini adalah peningkatan sebanyak 34.8 peratus berbanding separuh pertama 2022.
Tidak syak lagi sektor perkhidmatan bakal menjadi sumber pelaburan utama untuk masa hadapan Malaysia, merangkumi 62 peratus daripada pelaburan yang diluluskan oleh MIDA. Lima buah negeri yang merekodkan jumlah pelaburan tertinggi termasuklah Kuala Lumpur sebanyak RM31.7 bilion, Selangor RM29.7 bilion, Kedah RM14.6 bilion, Johor RM14.2 bilion dan Sabah RM9.0 bilion.
Pulau Pinang telah terkeluar daripada lima buah negeri dengan pelaburan tertinggi sejak dua tahun berturut-turut iaitu 2022 dan 2023 dek kerana kurangnya pelaburan di dalam sektor perkhidmatan dan kekurangan pelaburan sektor pembuatan, akibat daripada kekurangan tanah kawasan perindustrian di Pulau Pinang. Kedah mampu menerima pelaburan yang tinggi kerana mempunyai banyak tanah perindustrian yang kosong serta kedudukannya yang berhampiran dengan Pulau Pinang.
Zon Kewangan Khas (SFZ) di Pulau Pinang, sama seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Johor Bahru mampu memberikan lonjakan kepada sektor perkhidmatan di Pulau Pinang dan mengembalikan semula pelaburan ke negeri ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan seluruh warga Pulau Pinang tanpa mengira pendirian politik seharusnya berganding bahu untuk memohon Kerajaan Persekutuan bagi meluluskan sebuah SFZ di Pulau Pinang di dalam Belanjawan 2024 kelak.