Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bertindak begitu agresif cuba lari daripada tanggungjawabnya sebagai Menteri, selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menganugerahkan 2 projek rundingan terus. (RT) sebanyak RM 170.8 juta. Projek-projek yang dimaksudkan ialah Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB (bernilai RM170,294,400.00) dan Sistem Perisian Perakaunan Century (bernilai RM501,206.37).
Reaksi pertama Zuraida ialah mendakwa beliau tidak tahu ada projek RT dan semua ini berlaku di luar pengetahuannya. Beliau berjanji untuk menyiasat tuduhan pihak pembangkang Pakatan Harapan. Zuraida lupa bahawa pihak yang mendedahkan 2 projek RM170.8 juta oleh Kementeriannya bukan PH, tetapi Zafrul sendiri. Mengapa pula Zuraida tidak marah kepada Menteri Kewangan sekiranya projek RT ini tidak patut diletakkan di bawah KPKT?
Sememangnya senarai projek RT Pakatan Harapan(PH) sebanyak RM6.61 bilion, yang didedahkan oleh Zafrul adalah palsu dan wajib diperbetulkan, tetapi tidak disangka perkara ini dipertikai oleh Zuraida sendiri. Zafrul telah membuat satu penipuan kerana daripada jumlah RM6.61 bilion, 95% atau RM6.258 bilion, ialah projek yang diwarisi dan projek sambungan dari zaman Barisan Nasional(BN), yang terpaksa diteruskan oleh PH. Dalam kata lain projek RT di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan, tetapi sebenarnya hanya 5.3% daripada jumlah itu, yakni RM352 juta!
Zuraida Dicabar Untuk Dedahkan Surat Permohonan Tahun 2018 Daripada KSU KPKT Kepada Kementerian Kewangan Untuk RT Projek Sisa Pepejal Taman Beringin(PSPTB) Sebanyak RM170.3 Juta.
Semalam, Zuraida berpaling tadah dan menyalahkan saya pula, kononnya sayalah yang meluluskan PSPTB pada 20 Februari 2019 sebanyak RM170.3 juta tanpa pengetahuannya. Ini perkara yang mustahil. Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah Kementerian yang bertanggungjawab akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk projek RT dijalankan. Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada MOF.
Surat permohonan KPKT kepada MOF tersebut sepatutnya dihantar oleh pegawai kanan KPKT pada tahun 2018 dan ditulis oleh pegawai kanan yang berpangkat Ketua Setiausaha (KSU) KPKT memandangkan projek ini melibatkan jumlah besar sebanyak RM170.3 juta. Zuraida tidak boleh menafi bahawa ada surat permohonan KPKT sedemikian dan saya mencabar beliau untuk mendedahkannya supaya rakyat boleh mengetahui kisah sebenar.
Tambahan pula, KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada tahun 2018 kepada MOF tanpa pengetahuan atau restu Menterinya, iaitu Zuraida. Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin. Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang Menteri “pengkhianat” PH. Ataupun Zuraida begitu jahil tentang perihal Kementeriannya sehingga tidak tahu KSU telah membuat permohonan RT kepada MOF. Sekiranya ini benar, maka Zuraida memang tidak layak “not fit and proper”, untuk memegang jawatan Menteri.
Sila dedahkan juga surat kepada KPKT daripada MOF atau daripada saya, kalau ada. Saya berharap Zuraida boleh mendedahkan surat-surat yang berkaitan agar rakyat dapat menilai sendiri kebenarannya. Janganlah sorok-sorok, sembunyikan fakta, menutup kebenaran atau lari daripada hakikat sebenarnya.
Bila Lagi Senarai Projek RT BN Dan PN Akan Didedahkan?
Pendedahan senarai projek RT daripada PH sahaja, dan bukannya BN dan PN sendirinya dilihat sebagai satu serangan politik yang kotor ke atas PH. Sekiranya tidak mahu isu ini dipolitikkan, Zafrul harus mendedahkan projek RT zaman BN, dan yang penting sekali projek RT yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional(PN).
Buktikan semua projek RT yang diluluskan oleh Zafrul sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) yang hanya berhasrat mengkaji projek RT PH, tetapi tidaknya projek RT BN atau PN.
Biar fakta berbicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar.