![476329071 1155100689316790 6489969401102318633 n](https://dapmalaysia.org/wordpress/wp-content/uploads/2025/02/476329071_1155100689316790_6489969401102318633_n.jpg)
1. Saya menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mengekalkan status quo, di mana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam mengenai keperluan menjaga akidah semasa menyertai acara rumah ibadat bukan Islam, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
2. Kenyataan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan rakyat serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
3. Begitu juga dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada keperluan untuk garis panduan baharu bagi orang Islam kerana mereka (orang Islam) sudah tahu hadnya semasa menghadiri upacara seumpamanya.
4. Keputusan Jemaah Menteri ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan rakyat serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.
5. Selain itu, keputusan ini juga memupuk interaksi harmoni antara penganut pelbagai agama di negara serta memelihara kebebasan rakyat Malaysia bergaul atau menjalankan apa juga kegiatan yang sihat
6. Oleh itu, saya berharap di masa depan setiap cadangan dasar kerajaan yang sensitif perlu dibincangkan secara inklusif terlebih dahulu dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak bagi memperkukuh keharmonian negara.
7. Bagi saya tidak salah belajar daripada kesilapan, jangan umum sesuatu dasar atau peraturan sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri kerana ia penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
8. Ingin saya tegaskan keharmonian negara merupakan aset yang perlu dihargai dan dipelihara bersama. Amat mudah untuk bercakap tentang keharmonian negara, tetapi impian itu perlu diterjemahkan kepada tindakan, kesabaran dan keyakinan antara satu sama lain.
9. Marilah kita terus angkat semangat perpaduan dan jauhi pihak yang memecah belah rakyat Malaysia.
– Tamat –
Pang Sock Tao
ADUN Kuala Kubu Baharu
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Selangor