Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong menyeru semua bank untuk turut serta dalam pengecualian caj ke atas vendor yang menerima pembayaran menggunakan platform kod QR DuitNow.
Beliau berkata, sebanyak tiga buah bank iaitu Maybank, Public Bank dan CIMB serta Touch ‘n Go telah membuat pengumuman untuk melanjutkan pengecualian tersebut setakat ini.
“Empat institusi kewangan ini mewakili 75 peratus peniaga yang menggunakan servis ini,” katanya dalam satu ciapan.
Jelasnya, penjimatan kos urusniaga tunai bukan sahaja dinikmati oleh peniaga dan pengguna sahaja, malah pihak bank turut menikmatinya.
Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pula menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk campur tangan dalam pelaksanaan kadar diskaun pedagang (MDR) untuk pengguna DuitNow memandangkan pengenalan caj akan menyebabkan khidmat transaksi tanpa tunai tidak lagi akan menjadi pilihan utama.
“Peniaga sudah pasti tidak lagi mahu menggunakan sistem ini sebagai salah satu cara pembayaran kepada servis yang mereka tawarkan.
“Mereka akan kembali kepada urusniaga tunai dan ia membantutkan usaha mengembangkan penggunaan transaksi tanpa tunai.
“Ini adalah satu langkah ke belakang yang mana jika kita lihat di negara luar, kebanyakan urusniaga perniagaan kini dijalankan secara ‘cashless’ bahkan ia digunakan secara meluas sehinggakan gerai atau kedai kecil juga menggunakan urusniaga begini,” katanya dalam satu satu kenyataan semalam.
Tambahnya, inisiatif kerajaan dalam bentuk bantuan e-wallet dan sebagainya akan turut terbantut.
“Pihak bank boleh menyerap bayaran yuran transaksi ini, seperti dilakukan selama ini.
“Tiada masalah yang timbul bahkan pihak bank setiap tahun melaporkan keuntungan berlipat kali ganda walaupun menanggung kos perkhidmatan ini,” jelasnya.
Syarikat operasi pengendali sistem QR DuitNow, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melalui satu kenyataan media baru-baru ini menjelaskan bahawa penepian bagi caj kadar diskaun pedagang (MDR) selama empat tahun ke atas peniaga akan tamat tempoh pada 1 Nov 2023.