
Bulan Mei bakal menyaksikan Pesta Kaamatan diraikan meriah di bumi Sabah sebagai simbol budaya dan kepelbagaian Malaysia yang sebenar. Namun bagi anak-anak Sabah yang menuntut di Semenanjung, kemeriahan ini tidak mudah dikecapi. Tiket kapal terbang seringkali menjadi tembok pemisah antara kampung halaman dan tempat menimba ilmu. Harga tambang yang mencecah ratusan ringgit bukan sesuatu yang semua mampu tanggung, terutamanya pelajar dari keluarga B40.
Di sinilah kerajaan melalui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memainkan peranan yang tidak ternilai. Subsidi FlySiswa bernilai RM400 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Disember tahun lalu bukan sekadar pengumuman kosong. Ia adalah simbol keprihatinan dan kecekapan kerajaan dalam menterjemahkan dasar kepada tindakan. Anthony Loke adalah arkitek yang merangka bagaimana wang ini boleh dijana, bukan sekadar diminta.
Di bawah kepimpinan Loke, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pendekatan inovatif iaitu penjualan nombor plat istimewa melalui sistem JPJ eBid. Inisiatif ini bukan baru, tetapi disuntik nafas baharu dengan siri istimewa seperti “MADANI” dan “GOLD”, sempena Jubli Emas Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2024.
“Siri ‘GOLD’ ini merupakan usaha Kementerian Pengangkutan untuk merealisasikan pelbagai inisiatif kebajikan seperti subsidi FlySiswa, bantuan topi keledar, dan caruman keselamatan sosial pemandu teksi. Semua orang suka emas. Jadi nombor ini pasti akan diminati ramai.” Katanya.
Dan beliau tidak silap. Bidaan untuk siri “MADANI” contohnya telah mengumpul lebih RM2.6 juta, satu jumlah luar biasa yang terhasil tanpa menambah beban cukai kepada rakyat. Nombor “MADANI 6” sahaja dibida pada harga RM68,888. Hasil kutipan ini disalurkan terus kepada program kebajikan rakyat, termasuk inisiatif FlySiswa.
Mulai 1 Januari 2025, kadar subsidi FlySiswa telah dinaikkan dari RM300 kepada RM400 seorang. Ini adalah peningkatan RM100 berbanding tahun sebelumnya, satu keputusan yang tepat, terutamanya bagi pelajar Sabah dan Sarawak yang terpaksa berdepan dengan masalah kos perjalanan yang tinggi. Subsidi ini bukan retorik kosong. Ia adalah bukti bahawa dasar Madani bukan hanya slogan, tetapi dilaksanakan dengan kreativiti, akauntabiliti dan kecekapan.
Tambahan kepada inisiatif FlySiswa yang memfokuskan kepada para pelajar, Kerajaan MADANI turut tidak melupakan anak-anak Sabah dan Sarawak yang mencari rezeki di Semenanjung. Menerusi inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak, dan Labuan sempena musim perayaan utama, anak-anak perantau ini dapat pulang ke kampung halaman dengan bantuan kewangan daripada kerajaan.
Sambutan Pesta Kaamatan turut termasuk dalam senarai musim perayaan yang layak menerima subsidi ini, dengan harga maksimum ditetapkan pada RM499 bagi setiap tiket. Kerajaan akan menampung perbezaan antara harga asal tiket dan harga siling tersebut. Inilah ‘hadiah’ daripada Kerajaan MADANI kepada anak-anak Sabah, agar mereka dapat meraikan warisan budaya bersama keluarga tanpa rasa terbeban.
Lebih penting, pendekatan ini tidak datang dari hutang atau bajet tambahan yang membebankan kerajaan. Sebaliknya, hasil dari sistem bidaan plat kenderaan yang sebelumnya dilihat hanya sebagai lambang status, kini dimanfaatkan semaksima mungkin untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Anthony Loke adalah antara menteri paling efektif dalam kabinet sekarang. Beliau bukan sekadar mengumumkan subsidi, tetapi mencipta model pembiayaan yang lestari untuk menyokongnya.
Kreativiti Loke dalam menghubungkan jualan plat kenderaan dengan kebajikan rakyat mencerminkan pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat. Dalam era di mana rakyat semakin skeptikal terhadap pemimpin politik, pendekatan seperti ini mengembalikan kepercayaan bahawa masih ada pemimpin yang bukan sekadar bercakap, tetapi bekerja.
Ramai menganggap FlySiswa sebagai bantuan kecil. Namun bagi pelajar yang menuntut di Semenanjung tetapi berasal dari Sabah atau Sarawak, ia adalah harapan besar. Subsidi ini bukan sahaja membolehkan mereka pulang ke kampung halaman, tetapi menjadi bukti bahawa kerajaan tidak melupakan mereka.
Anthony Loke telah membuktikan bahawa dengan visi yang jelas dan keazaman untuk berkhidmat, tiada yang mustahil. Daripada bidaan nombor plat kepada bantuan pelajar, beliau menunjukkan bahawa dasar boleh digerakkan, bukan hanya digubal.