Kalah-menang Sungai Limau demi siapa? – Oleh Izmil Amri

TIBA-tiba ada bas dari Pejabat Daerah Setiu Terengganu bermusafir ke Sungai Limau, Kedah Darul Aman. Entah apa yang dicarinya, kita semua pakat garu kepala. Tetapi inilah dia lumrah pilihan raya kecil di Malaysia. Pertarungan yang kecil-kecil inilah yang sentiasa dijadikan modal penanda aras lanskap politik Malaysia.

Minggu sudah barangkali sudah ada lori berisi batu kerikil dan tar yang masuk ke kampung untuk bawa kemajuan ke depan tangga rumah. Biar mati rumput di laman asalkan kereta anak pinak dari Aloq Setaq boleh menderu masuk ke tepi tangga tanpa perlu lalu jalan lecah.

Itu sahaja barangkali indikator kemajuan yang mampu dibawa Barisan Nasional (BN) selain bantuan beras dua tiga kampit, susu likat, kain batik dan sampul berisi duit not tiga empat ratus; tanda ikhlas mahu membawa Sungai Limau keluar daripada kepompong ‘kemunduran’ dan langsung masuk ke koridor kemajuan pimpinan anak Mahathir Mohamad.

sg limauYa, anak Mahathir Mohamad. Kita masih bercerita tentang orang ini yang hujung minggu lalu tidak menang dalam pemilihan United Malays National Organisation.

Menang kalah PRK DUN Sungai Limau akan menjadi seakan cop mohor rakyat Kedah kepada pentadbiran Mukhriz Mahathir. Lagipun bukan rakyat Kedah yang pilih Mukhriz jadi Menteri Besar. Maka sekaranglah masanya untuk kerjaya politik Mukhriz setakat ini sebagai MB diuji dan dinilai, lalu diberi markah.

Malangnya pengundi selalunya tidak terfikir tugasnya mengundi turut mencakupi sudut penilaian ini. Yang dia tahu, wakil rakyat yang dia pilih Mei lalu (Allahyarham Ustaz Azizan) sudah tidak ada, maka harus pilih yang baru. Mereka boleh tepuk tangan seminggu dua kerana ini bermakna seluruh jentera BN akan berpesta kebajikan di kawasan mereka; dan memberi apa saja yang mereka inginkan.

Lebih malang lagi ialah apabila pemerintah lebih suka pengundinya kekal dalam keadaan ‘tak berapa nak reti’ ini supaya mudah ia mengekalkan kuasa. Ini malang bertimpa-timpa yang sepatutnya sudah tidak jadi hal dalam dunia alaf baru ini.

Pengundi sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar, selain letak tanda pangkah pada kertas undi. Ia bukan lagi soal memilih antara dua pihak berdasarkan suka atau tidak suka kepada pihak itu. Mengundi ertinya meletakkan kepercayaan penuh kepada calon dan perkumpulan yang mencalonnya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, entah apa mimpi menyebut bahawa dua pihak yang bakal berentap di Sungai Limau ini tiada banyak perbezaan. Malah beliau menuturkan bahawa PAS dan BN sebenarnya banyak persamaan.

Kita semua tahu ini bohong. Pengundi Sungai Limau juga tahu ini bohong. Sebab April lalu, Muhyiddin Yassin kata PAS adalah Parti Ajaran Sesat bawa fatwa songsang. Bagi Muhyiddin, BN dan UMNO lah yang paling tidak sesat, maka April lalu mesti sokong BN-UMNO.

PAS sesatPembohongan yang begitu mudah menyelit keluar daripada celah gigi Timbalan Perdana Menteri ini sewajarnya mendapat pertimbangan waras pengundi Sungai Limau. Ini maknanya apa? Ini maknanya nak bagi tahu pengundi bahawa status quo di Kedah tidak banyak berubah tidak kira siapa yang menang di Sungai Limau. Ini sebenarnya nak menyuruh pengundi buat tak peduli dengan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, supaya orang tidak bersemangat; sementara seluruh jentera BN akan mengeluarkan pengundinya lalu mengalahkan calon PAS.

Ini taktik nakal memperbodohkan rakyat secara separa sedar.

Ini taktik yang diperkenan oleh sekalian puak yang menginginkan perpaduan UMNO-PAS, tanpa peduli sudah berapa kati maki hamun dan cerca nista dilemparkan parti pemerintah itu kepada PAS selama ini.

Ini taktik yang kita kena lawan. Supaya pengundi Sungai Limau cerah dan faham tentang apa sebenarnya tujuan mereka mengundi kali ini. Kalah menang Sungai Limau bukan demi membenarkan perjuangan mana-mana parti politik. Benda ini mesti jelas.

Kalau PAS menang di Sungai Limau, itu maknanya rakyat di kawasan itu dengan selamba menempeleng kepimpinan Menteri Besar si anak Mahathir itu, yang baru minggu sudah kalah pada pemilihan parti.

Kalau UMNO menang di Sungai Limau itu tandanya Pakatan Rakyat Kedah mesti cari formula baru untuk memujuk kembali sokongan rakyat ke arah negara dan negeri yang bebas korupsi serta tidak akan tertindas dengan cukai GST. Barangkali ini simplistik, tetapi inilah kebenarannya.

Tak boleh terlalu yakin dan selesa. Mesti terus kerja. Semoga Sungai Limau kekal kawasan kita. – Roketkini.com

Recommended Posts