Syarikat insurans hayat akan dilanda kebanjiran amarah daripada 31 juta rakyat Malaysia sekiranya masih berdegil dengan kenaikan premium insurans perubatan setinggi 40-70% tahun hadapan

Syarikat insurans hayat di Malaysia diingatkan bahawa mereka akan dibanjiri dengan amarah daripada 31 juta rakyat Malaysia jika mereka berdegil dan kekal dengan cadangan kenaikan premium insurans perubatan setinggi 40% hingga 70% mulai tahun depan. Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang terdiri daripada 16 buah syarikat mesti secara serius mempertimbangkan semula hasrat yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Mark O’Dell bahawa tidak akan ada perubahan mendadak terhadap kenaikan premium insurans perubatan sedia ada.

Sebarang pelarasan harga semula premium insurans perubatan hendaklah dilaksanakan secara beransur-ansur dalam kuantum yang mampan dan munasabah, bukannya kenaikan sehingga 40-70% yang nyata keterlaluan dan berlebih-lebihan seperti yang dicadangkan untuk tahun depan. Tidak ada keperluan mendesak yang jelas bagi syarikat insurans hayat untuk melakukan kenaikan premium insurans perubatan sebanyak 40-70% secara keterlaluan dan berlebihan apabila syarikat terus mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang sihat.

Menurut Bank Negara Malaysia, keuntungan keseluruhan yang dicatatkan oleh dana insurans hayat dan takaful keluarga adalah lebih tinggi pada separuh pertama 2024 pada RM8.4 bilion berbanding separuh kedua 2023 pada RM3.2 bilion. Adakah syarikat insurans hayat tidak memperoleh pendapatan yang mencukupi? Mengapakah syarikat insurans hayat dibenarkan untuk memperoleh lebih banyak keuntungan di atas hasil pendapatan rakyat Malaysia yang telah bekerja keras dan membanting tulang empat kerat mereka?

Adakah gaji rakyat naik 40-70%?

Adalah tidak boleh diterima dari segi sosial dan moral bagi syarikat insurans hayat yang telah mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang sihat untuk mencari keuntungan yang lebih tinggi dengan mengorbankan rakyat Malaysia biasa yang sudah bergelut dengan peningkatan kos yang melebihi pertumbuhan dalam gaji dan upah. Adakah gaji rakyat sudah naik sehingga 40-70%? Kedua-dua Bank Negara dan Kementerian Kesihatan harus campur tangan dan menangani peningkatan kos rawatan perubatan di hospital swasta yang dikatakan sebagai punca kenaikan premium insurans perubatan.

Peningkatan premium insurans perubatan bukanlah jalan penyelesaian wajar kerana ia gagal menangani beberapa sebab di sebalik peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta. Pembelian pada harga tinggi oleh dana ekuiti persendirian terhadap hospital swasta juga menyebabkan caj perubatan yang lebih tinggi, bagi membolehkan dana ekuiti ini menarik balik pelaburan tinggi mereka juga menjadi faktor kos perubatan yang lebih tinggi.

Kedua-dua syarikat insurans dan hospital swasta tidak boleh mengenakan caj bayaran yang keterlaluan terhadap pelanggan mereka bagi memastikan penjagaan kesihatan swasta yang lebih mampan untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia. Sekiranya kenaikan premium dibenarkan pada tahap yang tidak berpatutan ini, maka ini akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia membatalkan polisi insurans perubatan mereka dan beralih kepada yang sistem kesihatan awam kita yang sudah terlalu terbeban dan tertekan, lantas menjejaskan lagi penyampaian kesihatan kepada rakyat.

Bank Negara mesti menjalankan kewajipan mereka dan melaksanakan tanggungjawab bagi pihak 31 juta rakyat Malaysia untuk menghalang syarikat insurans hayat daripada meneruskan cadangan kenaikan 40-70% dalam premium insurans perubatan tahun depan.

LIM GUAN ENG

Recommended Posts