Syarikat pengendali bakal berdepan penggantungan lesen operasi – Anthony Loke

3017439

Syarikat pengangkutan yang mengendali treler membawa kontena sehingga menghempap beberapa kenderaan di Pulau Pinang pada hari Rabu lepas bakal berdepan dengan penggantungan lesen operasi.

Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu akan diambil jika syarikat itu didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat audit serta merta ke atas syarikat tersebut dan seperti biasa, jika (mereka) didapati gagal mematuhi audit, mereka akan digantung.

“Yang keduanya, saya juga meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk siasat punca kemalangan,adakah ia berpunca dari segi teknikal,design atau mereka cuai dan tidak memasang kontena itu dengan selamat,” jelasnya.

Pada masa sama, Anthony juga menyifatkan sikap pemandu treler yang kini ditahan reman, menunjuk isyarat ‘peace’ semasa tiba di Kompleks Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini seolah-olah tidak sensitif dengan kejadian yang berlaku.

“Orang seperti ini memang dia tak menyesal dan tak ada rasa maaf kepada mangsa serta tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa,” jelasnya.

Recommended Posts