Syed Hussien, ‘Mini Malaysia’ & Politik Moderat DUN Mahkota

459177155 1040921367405843 652859656561084656 n

1. Semalam telah diadakan mesyuarat AJK DAP Negeri Johor di Kluang. Mesyuarat seterusnya telah disambung dengan perbincangan jentera DAP untuk PRK DUN Mahkota.

2. Dari aspek calon, saya berpandangan calon diangkat oleh Barisan Nasional (BN) sebagai ‘calon boleh menang’. Disamping anak tempatan, Syed Hussien Bin Syed Abdullah telah berkhidmat kepada rakyat Kluang sebagai Ahli Majlis. Beliau juga sangat dekat dengan golongan muda menerusi pelbagai aktiviti termasuk sukan permotoran, rekreasi dan kebajikan. Calon merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian.

3. Sebagai anak jati Kluang, saya juga boleh mengesahkan bahawa ayah calon – Syed Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan ‘Syed Dollah’ – turut merupakan individu yang sangat dikenali khususnya oleh generasi lama/veteran di sini. Beliau pernah menjadi Ahli Majlis dan Naib Ketua UMNO Bahagian. Hal ini boleh memberi nilai tambah kepada calon untuk menarik sokongan pengundi rentas generasi.

4. Satu hal yang menarik, kebolehan Syed Hussien bertutur dalam bahasa mandarin dengan fasih turut memberi kelebihan buat beliau untuk menyantuni kepelbagaian pengundi DUN Mahkota. Pada ketika ini, demografi DUN Mahkota sekitar 54% Melayu, 35% Cina dan 8% India. Demografi ini menjadikan Mahkota sebagai gambaran ‘mini Malaysia’.
5. PH-BN boleh memanfaatkan medan Pilihan Raya Kecil ‘mini Malaysia’ ini sebagai platform untuk menyantuni rakyat dari pelbagai latar belakang bangsa, agama, status ekonomi dan usia. Setiap kelompok sasar memiliki isu, cabaran dan kecenderungan yang berbeza-beza untuk diberikan perhatian oleh Kerajaan Perpaduan. Adalah sangat penting untuk PH-BN mengambil peluang menyampaikan dasar, halatuju serta inisiatif Kerajaan secara berfokus kepada setiap lapisan rakyat.

6. Saya berpandangan, naratif kempen yang moderat, sederhana dan berteraskan semangat ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ menjadi ramuan terbaik kemenangan di DUN Mahkota. Ini seterusnya boleh mencorak halatuju kempen Perpaduan di peringkat persekutuan juga.

7. Sekiranya pendekatan kempen ini diambil, ia mampu menjadi kayu pengukur dalam menentukan hala tuju politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. Bahkan, ia bertepatan dengan agenda perpaduan rakyat dibawah payung Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sheikh Omar Ali

Recommended Posts