GEORGE TOWN, 31 OGOS: Insiden serangan ‘molotov cocktail’ di rumah Ketua Menteri Lim Guan Eng beberapa minit menjelang ulang tahun kemerdekaan semalam menunjukkan khidmat Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sangat diperlukan bagi membantu menjaga keamanan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, adalah sangat malang apabila pihak yang ditubuhkan dengan tujuan membantu menjaga keamanan penduduk itu diisytiharkan sebagai ‘haram’.
“Apa yang diperlukan adalah pasukan peronda, seperti apa yang kerajaan negeri buat melalui PPS. Maka apa yang berlaku (pengharamanan dan penahanan anggota) adalah satu yang sangat malang dan tak masuk akal.
“Polis seakan-akan sengaja ingin mencari masalah, memporak-porandakan kerajaan Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PPS adalah pertubuhan yang menyalahi undang-undang. Pagi tadi, polis menahan kira-kira 154 anggota PPS yang menyertai perarakan sempena Hari Merdeka di Padang Kota Lama di sini.
Malah, Khalid dengan sombong mengarahkan anggota PPS yang tidak ditahan untuk menyerahkan diri, jika tidak ingin kediaman mereka diserbu polis.
Zairil mempertikaikan pengharaman PPS yang ditubuhkan kerajaan negeri empat tahun lalu, dan berkata kerajaan negeri akan tetap mempertahankannya.
“Jika satu atau dua insiden jadi alasan untuk mengharamkannya, bagaimana dengan polis sendiri, yang kerap berlaku kes kematian dalam tahanan?” soalnya.
“Negara menjadi seperti ‘bandar koboi’, pihak yang tidak bersalah dan ingin bantu menjaga keamanan ditangkap. Polis patut tumpu menangkap orang yang benar-benar buat kesalahan seperti individu yang menyerang rumah Ketua Menteri semalam,” kata Zairil.
Dulu puji, sekarang haram
Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong pula berkata, tiada sebab untuk pihak berkuasa mengharamkan PPS apatah lagi pertubuhan itu sering mendapat pujian sebelum ini.
“Beberapa bulan lalu, ahli PPS dipuji orang ramai termasuk polis sendiri kerana berjaya bantu menurunkan jenayah.
“Rumah Ketua Menteri diserang bom molotov, kumpulan relawan rakyat pula ditahan. Mana semangat merdeka yang ditonjolkan dalam televisyen dan iklan?
“Hari Merdeka pun nak main politik?” soalnya di laman Facebook. – Roketkini.com