Laporan audit lebih tebal dari Singapura, tak bermakna Malaysia lebih telus

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low diingatkan agar tidak menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia apabila menyatakan akauntabiliti di negara ini lebih baik berbanding Singapura, hanya kerana memiliki laporan yang lebih tebal.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata demikian mengulas kenyataan Low dalam majlis taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013 di Putrajaya, semalam.

Menurut laporan media, Paul dikatakan meminta delegasi majlis taklimat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013 melihat laporan audit Singapura dengan hanya 70 halaman, berbanding Malaysia yang lebih tebal.

Dari sudut tersebut menurut Paul, amalan kerajaan Malaysia melebihi standard akauntabiliti untuk sektor awam.

Tony berkata, beliau sukar mempercayai tindakan Paul yang ‘berani’ membuat perbandingan begitu, sedangkan hakikatnya kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (CPI) di tangga ke-53, berbanding Singapura di tempat kelima.

“Ada banyak sebab mengapa laporan audit Singapura lebih nipis, termasuk kerana mereka lebih berakauntabiliti, telus sehingga tidak perlu mengeluarkan laporan tebal seperti di Malaysia.

“Paul selaku Menteri bertanggungjawab dalam soal ketelusan dan integriti tidak patut menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia dengan membuat dakwaan yang tidak berasas dan mengarut seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam isu berkaitan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dalam satu forum semalam berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu bertindak terhadap 55 teguran kesalahan dalam siri pertama laporan berkaitan kementerian, kononnya kerana ‘tiada unsur rasuah’.

Mengulas kenyataan itu, Tony membandingkan beberapa tindakan yang dikenakan keatas penjawat awam yang didapati bersalah dalam kes rasuah berprofil tinggi di Singapura – walaupun hanya memiliki 70 halaman laporan audit.

Antaranya kes bekas Ketua Singapore Civil Defense Force (SDF) Peter Lim Sin Pang yang dihukum penjara 6 bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah seks dengan seorang pengurus, sebagai habuan memajukan kepentingan majikan wanita itu, Nimrod Engineering.

Selain itu, pegawai kanan Corrupt Practices Investigation Bureau Edwin Yeo dihukum penjara sepuluh tahun selepas mengaku bersalah menyalahgunakan SD$1.76 juta (RM4.3 juta) dana awam.

Justeru kata Tony, Paul sepatutnya berasa malu apabila LKAN yang tebal dan dikeluarkan saban tahun gagal mencari pihak yang bersalah ke atas kehilangan berjuta-juta wang rakyat, seperti yang dilakukan di negara jiran itu.

“Apa gunanya menjadi ‘terbuka dan telus’ apabila masalah pembaziran, ketidakcekapan, kecuaian dan rasuah berulang setiap tahun.

“Mungkin Menteri (Paul Low) patut lebih mengambil berat ke atas banyak laporan di negara ini, yang menyebabkan laporan menjadi tebal,” katanya lagi. – Roketkini.com

Recommended Posts