
KUALA LUMPUR, 27 JUN: Ketidakcekapan pengurusan air di Selangor bukan saja menjejaskan lebih 157,000 isi rumah di negeri ini, malah merosakkan kredibiliti Pakatan Rakyat, kata Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua.
Katanya, amaran gangguan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) semalam kepada penduduk Gombak, Petaling Jaya dan Klang berikutan tahap rendah air mentah tidak boleh diterima.
“Penduduk Selangor berhak marah dan kerajaan negeri perlu bertanggungjawab kerana sekali lagi melaksanakan catuan yang menyusahkan.
“Ini bukan saja memalukan Menteri Besar dan kerajaan negeri, tapi merosakkan kredibiliti Pakatan Rakyat,” kata Pua dalam kenyataannya hari ini.
Penduduk Selangor sebelum ini mengalami catuan selama dua bulan semenjak gangguan air berlaku Februari lalu.
Justeru pada 11 Jun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa tidak ada lagi pengulangan catuan air.
Manakala pada 17 Jun lalu, kerajaan negeri turut memberi jaminan tiada keperluan catuan air sebaik musim kering bermula dalam beberapa minggu ditambah fenomena El Nino.
Exco Negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Selangor memiliki air yang cukup untuk empat hingga lima bulan berdasarkan paras air di kolam takungan dan empangan. Namun, selepas jaminan itu masalah sama berulang.
Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor menegaskan, sejak minggu lalu sebelum kesampaian El Nino, bekalan air di beberapa bahagian negeri ini mulai terjejas dengan kawasan paling teruk di Balakong dan Bangi.
“Perkembangan yang mengejutkan ini tidak boleh diterima.Keadaan bertambah buruk apabila catuan air dilakukan sekali lagi. Semua pihak termasuk pihak berkuasa, Syabas dan kerajaan negeri tidak boleh memberi alasan.
“Gangguan air selepas seminggu jaminan dari kerajaan negeri ini memperlihatkan kepada rakyat betapa seriusnya kelemahan mereka dalam menangani isu ini,” katanya. – Roketkini.com



