
Dalam dunia yang semakin pantas berubah dan berasaskan digital, ketelusan bukan lagi pilihan, ia satu keperluan. Maka tidak menghairankan apabila Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, turun padang sendiri menganjurkan sesi taklimat pelaksanaan e-Invois kepada pelbagai lapisan pemegang taruh di Pulau Pinang baru-baru ini.
Bukan sekadar sesi penerangan biasa, pendekatan Lim Hui Ying yang bersifat dialog terbuka ini mencerminkan wajah sebenar Kerajaan Madani, inklusif, responsif dan berani mendepani transformasi digital secara menyeluruh. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini melibatkan kerjasama merentas NGO, tokong, kuil, pertubuhan masyarakat dan pihak industri, satu bentuk keterbukaan yang jarang kita lihat dalam dasar fiskal negara sebelum ini.
Namun, lebih penting daripada simbolisme politik ialah manfaat sebenar e-Invois kepada peniaga dan negara, terutama dalam aspek kecekapan dan integriti.
Salah satu manfaat paling ketara e-Invois ialah keupayaannya mengurangkan kos dan masa dalam pengurusan perakaunan. Segala transaksi direkod secara automatik, dalam hampir masa nyata, sekaligus menghapuskan kebergantungan kepada invois bercetak dan sistem manual yang terdedah kepada kesilapan.
Sistem ini juga mudah diakses secara percuma melalui portal MyInvois yang disediakan oleh LHDN, menjadikan ia bersifat mesra Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan menyokong daya saing perniagaan kecil dalam ekosistem ekonomi digital yang kian kompleks.
Namun, nilai paling penting yang dibawa oleh e-Invois bukan sekadar dalam bentuk penjimatan, tetapi dalam memulihkan kepercayaan terhadap sistem kewangan dan tadbir urus negara. Dengan rekod transaksi yang sah, unik dan boleh dijejak, ruang untuk manipulasi akaun, pemalsuan invois atau “creative accounting” menjadi semakin sempit.
e-Invois secara tidak langsung menjadi benteng terhadap rasuah. Ia menghalang “invois gelap”, amalan “double book”, serta mengukuhkan lagi daya audit dalam dan luar sesebuah organisasi. Di sinilah e-Invois menyumbang kepada matlamat besar seperti Rangka Tindakan Antirasuah Nasional (NACP), bukan sekadar dengan slogan, tetapi melalui sistem yang konkrit dan boleh diukur.
Syarikat yang telus dan tersusun akan sentiasa berada di barisan hadapan apabila melibatkan kepercayaan pelabur dan pelanggan. Pelaksanaan e-Invois memberikan isyarat jelas bahawa Malaysia komited untuk memperbaiki ekosistem perniagaannya, dan bukan hanya untuk memenuhi piawaian antarabangsa, tetapi untuk memberi manfaat terus kepada rakyat.
Langkah Kementerian Kewangan yang aktif mendekati komuniti dan pemain industri membuktikan bahawa kerajaan tidak melaksanakan dasar hanya dengan slogan. Sebaliknya, mereka mendengar, menyesuaikan, dan memimpin dengan telus.
Jika transformasi digital ini terus digerakkan dengan pendekatan dialog dan sokongan teknikal seperti latihan serta panduan yang telah dijanjikan, tidak mustahil kita akan melihat satu era baru di mana perniagaan tidak hanya lebih efisien, tetapi lebih jujur, lebih bertanggungjawab dan lebih dihormati.
Kerajaan telah menghulur tangan, kini masanya peniaga menyambutnya.