TEMERLOH, 17 DIS: Tujuh Orang Asli Jahut mewakili sekitar 500 penduduk Kampung Sungai Mai, Jerantut memfailkan kes terhadap kerajaan Pahang di Mahkamah Tinggi Temerloh semalam.
Kes itu dibawa ke mahkamah demi mempertahankan hak dan tanah adat yang telah mereka duduki sejak turun temurun. Ia dikendalikan oleh peguam A Rajkumar secara pro-bono.
Menurut plaintif, Jeff Yangman, pemberian lesen pendudukan sementara yang oleh kerajaan Pahang merupakan salah satu punca pencerobohan tanah adat.
“Pemegang lesen itu kebanyakannya individu yang terlibat dengan pembalakan, penanaman kelapa sawit dan kebun getah, dan ladang limau dan pisang.
“Justeru, penerokaan hutan yang berlaku ini memusnahkan kawasan perkuburan, pokok buah-buahan, dan kawasan berburu mereka,” katanya.
Menurutnya, Orang Jahut telah berada di kawasan itu sejak sebelum kedatangan penjajah British lagi dan sebelum diadakan persempadanan tanah kerajaan dan kawasan simpanan hidupan liar.
“Orang Jahut bebas menjelajah kawasan nenek moyang mereka di Lembah Krau untuk mencari rotan dan buluh untuk dijadikan bahan membina rumah. Mereka juga memburu, memungut hasil hutan dari kebun dan hutan mereka,” jelas Jef.
Beliau menambah, penduduk mengambil masa lapan tahun untuk memfailkan kes ini setelah membuat kajian mendalam, pemetaan komuniti, dan perbincangan dengan peguam sebelum pergi ke mahkamah.
Seorang lagi plaintif, Yusri Ahon, ketua masyarakat Jahut yang juga aktivis dan Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) berkata, Orang Asli akan mengambil tindakan drastik jika didesak.
“Orang Asli terkenal dengan sifat mengelakkan kekerasan dalam kehidupan komuniti mereka.
“Tidak kira apabila berjuang di mahkamah walaupun dengan kos yang tinggi atau membina sekatan terhadap pembalak sungguhpun diancam dengan penahanan; ini adalah cara terakhir Orang Asli apabila suara mereka tidak didengar oleh kerajaan dan pihak berkuasa yang tidak mengiktiraf hak mereka,” kata Yusri.
Merujuk kepada kes-kes perjuangan hak Orang Asli sebelum ini, Setiausaha Agung JOAS, Jannie Lasimbang berkata hak Orang Asli sudah diiktiraf di mahkamah.
Jannie merujuk kepada kes Sagong Tasi, kes Adong Kuwau dan kes Nor Nyawai.
“Keputusan kes tersebut harus dijadikan sebagai rujukan kepada kes tanah Orang Asal yang akan datang.
“Selain itu, kerajaan Malaysia sudah terlibat dengan banyak agenda antarabangsa dan menandatangani dokumen antarabangsa seperti Deklarasi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal pada 2007, dan Dokumen Hasil Persidangan Sedunia Mengenai Orang Asal pada 2014.
“Dokumen-dokumen ini telah menyatakan dengan jelas tentang hak Orang Asal dan langkah pelaksanaannya.
“Justeru, tiada alasan untuk kerajaan untuk tidak mengiktiraf hak Orang Asal,” kata beliau.
Kes yang difailkan tersebut dijangka akan mula dibicarakan pada 19 Januari tahun hadapan. -Roketkini.com