Situasi yang sedang melanda Semenanjung Gaza hari ini amat menginsafkan. Kita memang tidak mahu kepada peperangan dan keganasan. Namun ada waktunya hal-hal yang tidak diingini berlaku tanpa memberi sebarang isyarat dan tanpa khabar berita.
Hari demi hari kita menyaksikan di media sosial bagaimana wilayah bergolak di Palestin diserang bertubi-tubi tanpa kekuatan untuk melakukan serangan balas, apatah lagi untuk mempertahankan rakyatnya yang di bedil secara kejam oleh rejim Zionis tanpa perlu memberi sebarang justifikasi kepada masyarakat dunia.
Ini justeru meresahkan saya, serta membangkitkan beberapa persoalan tentang kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
ATM hari ini tentunya jauh lebih inklusif daripada sudut gender, terutamanya dengan memberi daya kepada wanita serta melibatkan lebih ramai wanita dalam pelbagai peranan, tidak kira di medan mahupun di peringkat pemerintahan strategik.
Ini bukan sahaja membuktikan komitmen ATM terhadap kesetaraan gender, malah lebih penting lagi memperbaiki keberkesanan operatif ATM dengan menghadirkan lebih banyak kemahiran dan sudut pandang yang pelbagai. Tentu sekali sudut pandang seorang wanita tidak akan sama dengan sudut pandang seorang lelaki.
Keterlibatan wanita di dalam ATM menjadi bukti kemampuan dan kekuatan mereka mencabar peranan gender turun temurun serta stereotaip yang dikaitkan dengan kaum wanita. Bidang ketenteraan yang secara tradisinya didominasi lelaki tentu sekali menyaksikan pemberdayaan wanita sebagai batu asas kepada usaha-usaha perubahan sosial yang lebih lebar; malah memberi semangat kepada kanak-kanak serta wanita muda di seluruh tanah air untuk membina kerjaya dalam bidang yang selama ini dirasakan sukar untuk diceburi.
Oleh yang demikian itu, adalah sangat penting agar hak serta kebajikan wanita di dalam ATM dipelihara, bukan sahaja demi memastikan wujudnya persekitaran kerja yang adil-setara dan menghormati martabat wanita, bahkan juga menjulang nilai-nilai keadilan dan maruah yang menjadi asas kepada fabrik masyarakat.
Dengan memelihara serta memperjuangkan isu kebajikan wanita dalam angkatan tentera, Malaysia tentunya mampu menjadi perintis dan contoh ikutan serantau yang membuktikan komitmennya kepada dasar-dasar pertahanan yang progresif, inklusif serta mendepani zaman.
Tempoh hari dalam perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2024, saya telah membangkitkan beberapa persoalan berkaitan isu-isu wanita sebagai warga angkatan tentera.
Saya persoalan apakah inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam angkatan tentera?
Saya persoalkan juga bagaimanakah cara untuk Kementerian Pertahanan memastikan keselamatan dan kebajikan kaum wanita yang berkhidmat dalam pasukan tentera?
Akhir sekali saya tanyakan apakah langkah-langkah sedia ada untuk mengatasi sebarang kemungkinan diskriminasi atau gangguan berasaskan jantina dalam ATM?
Untuk konteks, setakat Februari tahun ini, ATM mempunyai seramai 113 ribu anggota tetap, serta sekitar 51 ribu anggota angkatan simpanan.
Dengan populasi seramai 33 juta dan nisbah lelaki kepada wanita dianggarkan sekitar 1.05, ATM memiliki kekuatan sejumlah 26 ribu anggota wanita di ketiga-tiga cabang perkhidmatan, dengan mengambil kira jumlah angkatan tetap dan pasukan simpanan darat laut dan udara. Tidak begitu ramai, pastinya; jika kita bandingkan dengan jumlah anggota lelaki.
Pada Disember 2019, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah membentangkan Kertas Putih Pertahanan (Defence White Paper, DWP) di Parlimen.
Antara lain, DWP menggaris beberapa langkah utama dalam usaha menarik minat masyarakat untuk menyertai khidmat ketenteraan.
Ini termasuklah memberi keutamaan kepada usaha merekrut anggota dengan kelayakan tinggi; bukan sahaja memiliki kecekapan sebagai anggota tentera, tetapi juga mempunyai kebolehan dalam lapangan sains dan teknologi, kejuruteraan, pengurusan serta bidang-bidang lain.
DWP turut menekankan kepentingan teknologi komunikasi dan maklumat serta aplikasinya dalam operasi ketenteraan masa depan. Untuk itu, ATM memberi penekanan kepada usaha merekrut berteraskan sembilan tunjang IR 4.0.
Kerajaan juga menyatakan iltizam untuk menjadikan ATM sebagai bidang pekerjaan yang menjadi pilihan ramai, serta menarik minat individu daripada latar belakang ekonomi, pendidikan, budaya dan fahaman yang berbeza. Tentu sekali semuanya mempunyai rasa cinta kepada negara.
Setakat ini, usaha-usaha telah dijalankan oleh kerajaan untuk mencapai kadar penglibatan wanita sebanyak 10% untuk jangka masa terdekat, dalam rangka merealisasikan komitmen negara terhadap Resolusi 1325 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Wanita, Keamanan dan Keselamatan.
Menurut DWP, dalam usaha untuk menarik minat wanita; kerajaan akan terus komited menyediakan sistem sokongan yang sewajarnya kepada anggota tentera wanita.
Ini tentu sekali termasuk (dan tidak terhad kepada) usaha memastikan wujudnya peluang kemajuan kerjaya yang setara, penyediaan kemudahan mengasuh serta menyusu anak, serta khidmat penjagaan kanak-kanak yang disubsidi pihak kerajaan.
ATM memiliki sebilangan wanita yang mahir mengendalikan artileri, jentera dan tentunya menjadi juruterbang jet pejuang; semuanya itu peranan di medan tempur yang jauh berbeza dengan kepercayaan ramai pihak bahawa anggota tentera wanita hanya berperanan menyediakan makan minum, menguruskan hal perkeranian, semboyan dan menjadi jururawat di hospital medan.
Pun begitu, kerajaan dan ATM sendiri harus sedia menerima hakikat serta mengiktiraf cabaran-cabaran gender yang dihadapi anggota wanita, dalam rangka untuk memulakan kerjayanya dalam bidang ketenteraan; meski layanan sama-rata harus diberikan setara dengan anggota lelaki.
Keamanan sejagat hanya boleh dicapai apabila lelaki dan wanita bekerjasama sebagai rakan setara dalam rangka menguruskan konflik serta mewujudkan keamanan yang lestari.
Wanita juga tentunya merupakan pemegang taruh yang penting dalam soal pertahanan dan keselamatan, malah membawa sudut pandang dan pengalaman yang unik serta amat bernilai dalam proses membuat keputusan berkaitan ketenteraan dan pertahanan. Sebuah proses yang selalunya dilihat dari sudut pandang lelaki semata-mata. Barangkali sudah masanya proses itu dirombak sedikit.
SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA