Notis roboh gelanggang sukan SJKC Chin Woo ditangguh sementara

Kfong kui lunUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan sementara perobohan tapak gelanggang sukan Sekolah jenis Kebangsaan (C) Chin Woo, Pudu, dekat ini.

Keputusan penangguhan itu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa dan sudah dimaklumkan kepada Dewan Rakyat, petang tadi.

Bagaimanapun, tarikh perobohan tapak itu belum ditetapkan sehingga keputusan dicapai dalam perbincangan antara pihak sekolah dengan Kementerian Pelancongan nanti.

Sebelum ini, Fong menggesa Dewan Rakyat segera mengemukakan notis agar menangguhkan pengosongan tapak gelanggang permainan SJKC Chin Woo.

Menurutnya, notis mengikut Perkara 18 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat harus disegerakan kerana ia membabitkan kepentingan awam dan kesusahan kepada pentadbiran sekolah serta pelajar.

Beliau berkata, SJKC Chin Woo telah menerima notis pemberitahuan pengosongan tapak gelanggang sukan yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG WPKL) bertarikh 28 Ogos 2013.

“Notis itu meminta pihak SJKC Chin Woo mengosongkan tapak gelanggang sukan sekolah itu sebelum 23 September (hari ini), jika tidak perobohan struktur dan pengosongan akan dijalankan pada 24 September ini.

“Notis yang dikeluarkan PTG WPKL itu juga menyatakan mereka tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan harta benda yang timbul semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Jadi, saya menggesa Dewan Rakyat agar segera mengeluarkan notis penangguhan kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai. Sekolah itu didirikan sejak 75 tahun lalu di atas tanah milik sekolah sendiri yang menempatkan lebih 500 pelajar,” katanya dalam surat permohonan yang dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

Beliau yang juga Bendahari Kebangsaan DAP menegaskan, tindakan pengosongan itu juga akan menjejaskan aktiviti pembelajaran sekolah itu.

“Pengosongan dan perobohan tapak itu akan mengakibatkan sekolah kerugian kerana hilang dua gelanggang permainan sekaligus menjejaskan aktiviti persekolahan.

“Sepatutnya rundingan bersama pihak sekolah dijalankan terlebih dahulu sebelum notis pengosongan itu dikeluarkan kerana ia akan menimbulkan permasalahan kepada pihak sekolah dan pelajar,” ujarnya.

Kui Lun turut menyelar Kementerian Pelancongan yang tergamak merobohkan lokasi pusat pembelajaran atas nama projek pelancongan.

“Tanah itu adalah tanah rezab kosong dan ia telah dibina dengan dua gelanggang bola keranjang oleh pihak sekolah sebelum Kementerian Pelancongan mendapat hak miliknya pada 1994.

“Kini kementerian menuntut semula tanah di Lot 1162 itu semata-mata untuk membina projek restoran dan bilik pameran. Walhal pelan asal menunjukkan bahawa tanah itu adalah rezab jalan,” katanya. -Roketkini.com

Recommended Posts