
Aduhai Abdullah Zaik Abdul Rahman Si Pemuda Melayu, saya juga Melayu dan saya ingin melahirkan perasaan saya yang amat malu dengan anda selaku Presiden Isma, satu organisasi yang menggunakan nama yang baik-baik sebagai simbol perjuangan orang yang baik-baik
Saya malu kerana saudara yang berakal dan berpendidikan tinggi telah sanggup menyatakan satu ungkapan yang telah merendahkan darjat saudara dengan menghina sejarah kita dan kaum Cina.
Aduhai Abdullah Zaik Si Pemuda Muslim, sedarkah tuan bahawa manusia Melayu ini juga adalah pendatang di bumi semenanjung ini, kita datang dan ‘mencerobohi’ tanah ini kerana tok nenek moyang kita telah berhijrah dari tanah asalnya ke tanah semenanjung pada masa undang-undang, perlembagaan dan institusi daulah belum ada lagi di bumi Semenanjung ini.
Sesetengah dari kita entah datang dari Mongolia, China, Afrika atau India. Keturunan dan suku-sakat Abdullah Zaik, tidaklah kiranya saya ketahui dari mana asalnya.
Ya, sungguhpun Melayu terlebih dahulu mendiami tanah ini, ia tidak bermakna kita adalah tuan tanah yang mutlak kerana bumi ini pada awal dan akhirnya adalah milik Allah jua adanya. Demikianlah ajaran Tuhan kita.
Dan janganlah lantaran itu kita mendakwa orang lain sebagai pendatang atau penceroboh dengan membangkitkan perasaan syak wasangka antara sesama kaum seperti sifat keanak-anakan yang mahu mengejar siapa dulu mendapat cokelat, maka cokelat itu adalah miliknya.
Aloha Abdullah Zaik yang segak tak kalah berlagak, saya juga merasa malu kerana kebebasan menyatakan pandangan telah disalah tafsir hingga saudara berkata sesuka hati tanpa mempedulikan kesahihan fakta dan perasaan kaum yang saudara sebutkan itu.
Saya yang tak terlalu bijak ini akan mempertahankan hak saudara untuk berkata, menyata pandangan atau berhujah demi menghormati hak asasi hidup saudara, namun adalah molek kiranya saudara juga menghormati ruang kebebasan yang dimiliki ini dengan penuh rasional, rasa tanggungjawab dan penuh tawaduk.
Saya bukanlah sarjana Islam yang handal ilmunya seperti guru-guru Abdullah Zaik Si Pejuang Bangsa, namun menghormati kaum lain sebagai rakan kongsi dalam negara ini juga adalah tuntutan nilai dalam agama saudara sendiri.
Janganlah kiranya kemiskinan kaum Melayu maka disalahkan Cina. Janganlah kerana terjajahnya kita maka Mat Salleh dipersalahkan. Ia takkan berlaku tanpa kelemahan dan kejahilan kita sendiri.
Wahai Abdullah Zaik yang berambut hitam, warna hati saudara tiada siapa yang tahu apatah lagi saya yang berambut ikal bak Superman yang sedang bertarung dengan jerung. Semua ini hanya Tuhan Allah sahaja yang Maha Mengetahuinya.
Justeru, saya mengajak saudara kembali untuk berfikir dan merenung dengan halus dan tenang, umpama tenangnya malam pabila bulan dipagar bintang, siapalah saudara di antara insan-insan yang saudara hina itu di sisi Tuhan.
Saya tamatkan Kultim saya ini untuk pergi beradu, moga-moga dengan peraduan ini maka lupalah hendaknya ingatan saya terhadap kejahilan manusia-manusia yang mendambakan penghormatan dengan jalan kesombongan.
Terlajak perahu boleh diundur
Terlajak kata… padanlah muka.