Teks Ucapan Penuh Menteri Pengangkutan Sdr. Anthony Loke di Majlis Anugerah Kecemerlangan Kali ke-9 SM Sains Tuanku Aishah Rohani

d8f09082 1a65 4afd 8ae9 04039208c8c9

TEKS UCAPAN MENTERI PENGANGKUTAN
MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN
KALI KE-9
SM SAINS TUANKU AISHAH ROHANI

Ampun Yang Amat Mulia,
Tunku Besar Seri Menanti,
Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz.

YANG BERUSAHA
ENCIK PUTRA BIN HISHAM
TIMBALAN PENGARAH SEKTOR PERANCANGAN DAN PENGURUSAN PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH
MERANGKAP PEMANGKU PENGARAH JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SEMBILAN

YANG BERUSAHA,
DR AINI ARIFAH BINTI ABDUL KARIM
KETUA PENOLONG PENGARAH UNIT STEM,
BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH

YANG DIHORMATI,
DATUK HJ ABDUL RASHID BIN HJ MOKHTAR
PEGAWAI TUGAS-TUGAS KHAS
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

YANG BERUSAHA,
TUAN HAJI NORAZAM BIN NAYAN
KETUA PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH SEREMBAN

YANG DIHORMATI,
IR ZAINAL ABIDIN BIN SALEH
YANG DIPERTUA PIBG SEKOLAH MENENGAH SAINS TUANKU AISHAH ROHANI

YANG BERUSAHA
PUAN MONARAZMAH BINTI ABDUL RAZAK,
PENGETUA SEKOLAH MENENGAH SAINS TUANKU AISHAH ROHANI.

BARISAN PENGETUA SEKOLAH MENENGAH DAERAH SEREMBAN

BARISAN GURU

AHLI JAWATANKUASA PIBG SM SAINS TUANKU AISHAH ROHANI
PARA IBU BAPA
DAN MURID-MURID YANG DIKASIHI SEKALIAN.

Selamat Sejahtera
Salam Malaysia Madani,
Salam Bersih, Muafakat, Sejahtera.
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya dalam majlis Anugerah Kecemerlangan kali ke-9, Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani bagi tahun 2023. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan demi kepentingan para murid. Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik merupakan satu majlis khas untuk meraikan murid-murid yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada murid-murid cemerlang sekolah ini.

Yang Mulia Tunku dan hadirin sekalian,
2. Swift D.F di dalam bukunya “Sociology of Education” menghuraikan pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana dan ilmuan dari Barat berkenaan dengan pendidikan. Antara tokoh tersebut ialah Aristotle. Menurut Aristotle, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal. Tujuan pendidikan adalah memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup. Oleh itu, kerajaan sentiasa percaya bahawa agenda pendidikan sebagai agenda utama mencerdaskan anak bangsa dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan cabaran masa hadapan

3. Tujuan utama pendidikan adalah bukan sekadar melahirkan murid yang cemerlang akademik semata-mata, tetapi juga kecemerlangan yang seimbang daripada segi intelektual, akhlak, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan seimbang. Falsafah ini selaras dengan agenda yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dalam gagasan Malaysia Madani yang bercita-cita untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju secara fizikal manakala rakyatnya juga turut maju dari segi nilai-nilai manusiawi dan akhlak insani. Kemajuan fizikal dan rohani ini mustahil untuk dicapai melainkan melalui proses pendidikan yang mempersiapkan anak-anak bukan hanya mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang, tetapi juga akhlak dan karakter yang unggul.

Yang Mulia Tunku dan hadirin sekalian,
4. Suka saya tegaskan bahawa iltizam Kerajaan Madani adalah sentiasa menghargai dan mengiktiraf budaya kecemerlangan, kesungguhan dan kerajinan murid dalam bidang akademik. Penganjuran majlis penghargaan seumpama ini akan dapat menjadi batu loncatan kepada murid-murid untuk terus berusaha dengan memberikan komitmen kepada pengajian, tradisi ilmu dan budaya kecemerlangan yang berkualiti tinggi. Para murid harus mewujudkan kompetensi persaingan yang sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing dan secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu pendidikan negara ke tahap global.

5. Bagi meneruskan agenda pendidikan berterusan dan memastikan kesinambungan kecemerlangan murid, maka pihak kerajaan telah mengambil inisiatif menyediakan pembiayaan pendidikan, bantuan pendidikan, sumbangan zakat serta pinjaman pendidikan. Buktinya, pembentangan belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 16.3 bilion bagi memperkasakan Pendidikan Tinggi Negara. Bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’, Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyaksikan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkat sebanyak 6.8% kepada RM16.3 bilion berbanding tahun lalu. Sebanyak 14 insentif dan inisiatif telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bagi memperkasakan sektor pendidikan tinggi negara.

6. Di samping itu, saya sebagai Ahli Parlimen Seremban juga sentiasa mengambil berat kepada kemajuan pendidikan bagi anak-anak dalam Parlimen Seremban. Banyak peruntukan yang telah saya salurkan kepada sekolah-sekolah demi keselesaan anak-anak dalam menuntut ilmu pengetahuan. Untuk Sekolah Menengah Sains Tuanku Rohani saja, saya telah meluluskan peruntukan untuk pembelian perabot sebanyak RM67,943 pada tahun ini. Diharapkan agar peruntukan ini digunakan sebaik-baiknya oleh pihak sekolah dalam memberikan keselesaan kepada semua warganya.

Yang Mulia Tunku dan hadirin hadirat sekalian,
7. Setiap kejayaan anak-anak pasti ada pendorong kuat di belakangnya, tidak lain tidak bukan ibu bapa sendiri. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para ibu bapa, kerana anak-anak tuan puan mencapai satu kejayaan yang amat membanggakan bukan sahaja kepada keluarga, tetapi kepada sekolah dan negeri. Segenggam pengorbanan dan kasih-sayang yang diberikan oleh ibu bapa membolehkan anak-anak berjaya dengan cemerlang. Kepada anak-anak, balaslah budi dan jasa ibu bapa, guru-guru, dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sepanjang kalian menuju kejayaan. Jangan diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana itu bukanlah budaya yang kita sanjung.

8. Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada penerima anugerah kecemerlangan pada hari ini. Tahniah juga kepada tenaga gerak kerja majlis pada hari ini atas penganjuran majlis yang gilang gemilang dan penuh kenangan.

Sekian, terima kasih.

b8451b53 a66a 4f83 9794 c166f8d99bd5

6e93d9eb 9c45 4eb9 b920 069cbd8b44df

Recommended Posts