Thaipusam di Selangor dijangka meriah, rakyat diingatkan untuk mengutamakan keselamatan

Sambutan Hari Thaipusam pada tahun ini dijangka paling meriah dengan anggaran pelawat dan penganut agama Hindu seramai satu juta orang yang akan ke Batu Caves bagi merayakan hari penuh bermakna itu. Hari Thaipusam pada tahun ini jatuh pada tanggal 25 Januari, seminggu dari sekarang. 

 

Ketika bercakap di RTM buat rancangan Selamat Pagi Malaysia, EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan merangkap ADUN Banting Tuan Papparaidu Veraman telah mencerita sedikit sebanyak persiapan yang sedang berlangsung bagi pihak Kerajaan Neger Selangor menjelang Thaipusam.

 

Menurut Papparaidu, sambutan tahun ini merangkumi persembahan pentas termasuk tarian tradisional dan persembahan budaya  atau ‘cultural show’ yang akan dinikmati oleh semua yang hadir. 

 

Selaku salah seorang daripada pengerusi Sistem Bantuan Kewangan Lima Agama (Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao) Selangor atau lebih dikenali sebagai LIMAS, kerajaan negeri juga akan menghulur bantuan kewangan dalam bentuk cek kepada mereka yang memerlukan. Bantuan ini adalah sebahagian daripada jumlah peruntukan Kerajaan Negeri Selangor.

 

Papparaidu juga menyatakan hasrat beliau untuk menyambung inisiatif Thaipusam sebelum ini iaitu meneruskan program pemberian makanan dan manisan percuma di pekarangan kuil Batu Caves pada hari sambutan.

 

Menurut ADUN Banting itu juga, selain sambutan Thaipusam di Batu Caves, Kerling dan Kuala Selangor juga akan mengadakan sambutan Thaipusam. Acara sambutan di Batu Caves dan Kerling akan bermula malam sebelum pagi Thaipusam pada 24 Januari manakala acara sambutan di Kuala Selangor akan bermula pada Hari Thaipusam. 

 

Sebelum beliau mengakhiri sesi bersama RTM pagi tadi, Papparaidu mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan beliau kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke atas usaha beliau melalui KTMB yang akan memberikan tambang percuma kepada semua pengguna KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari sempena hari perayaan tersebut. Tambahan lagi, KTM Komuter juga akan beroperasi tanpa henti selama empat hari bermula 23 Januari sehingga 26 Januari untuk memastikan kelancaran sambutan Thaipusam. Bukan itu saja, KTM juga akan menyediakan sebanyak 72 perkhidmatan tambahan; 33 bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang, dan 39 bagi laluan batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves bagi memastikan pelancaran perjalanan. 

 

Sebagai penutup, Papparaidu mengingatkan semua untuk menjaga kebersihan persekitaran dan mengambil langkah berhati-hati ketika sambutan Thaipusam agar keselamatan dan keselesaan penganut dan pelawat terjamin.

Recommended Posts