Tiada perbincangan ‘ambil alih’ kerusi, Pemuda MCA seeloknya fokus kepada kehidupan rakyat di Kuala Lumpur

468497714 534820832858542 8108389129034341823 n

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda MCA Kuala Lumpur, Mike Chong, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini dalam artikel bertajuk “Pemuda MCA: Jangan marah jika BN letak calon di 13 kerusi Wilayah”.

Saya berasa amat kesal terhadap sikap angkuh yang ditunjukkan oleh Pemuda MCA. Sekiranya Pemuda MCA benar-benar ikhlas ingin memupuk semangat kerjasama dan perpaduan, Pemuda MCA seharusnya memahami dan sedar bahawa sebarang pengumuman awam mengenai pengagihan kerusi di Kuala Lumpur hendaklah dibuat hanya selepas pertimbangan dan perbincangan di antara pucuk pimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Kekuatan DAP di Kuala Lumpur tidak boleh dinafikan dan dipandang enteng. Cheras diwakili oleh DAP selama 9 penggal, Bukit Bintang dan Seputeh selama 6 penggal — semuanya dengan majoriti besar. Ahli Parlimen DAP mempunyai tanggungjawab kepada pengundi mereka dan kenyataan yang seolah-olah meremehkan kepercayaan serta keyakinan yang diberikan mereka kepada DAP tidak boleh diambil ringan.

Demi mengangkat semangat kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan, DAP tidak pernah membincangkan secara terbuka mengenai “mengambil alih” kerusi BN. DAP sedar dan faham bahawa perkara seperti ini harus dibincang secara tertutup bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Daripada berangan untuk bertanding di lebih banyak kerusi, sebaiknya Pemuda MCA memberi tumpuan kepada usaha-usaha penambahbaikan taraf kehidupan rakyat di Kuala Lumpur. Sudah tiba masanya untuk bekerja keras supaya rakyat akan terus yakin terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan, terutamanya di Kuala Lumpur. DAP sedang melakukannya; Pemuda MCA disarankan untuk mula lakukan perkara yang sama.

Yap Yee Vonne
Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan

Recommended Posts