Tiada Pihak yang Harus Mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, tetapi Malaysia adalah Milik Semua Rakyat Malaysia

490546432 1262213548589276 2776578431667804694 n

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh bertarikh 4 Mei 2025 yang dilaporkan oleh media dengan tajuk “Malaysia selamanya Tanah Melayu, jangan jadi `kaduk naik junjung’”. [rujuk pautan 1 & 2]

Dr Akmal telah keliru apabila menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai justifikasi bagi menentang naratif bahawa Malaysia dimiliki oleh semua rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan Facebook Dr Akmal, beliau telah memetik Perkara 152 dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia, yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, dan tanggungjawab Yang-di-Pertuan Agong (Raja Malaysia) untuk menjaga kedudukan istimewa ‘Melayu’ dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain.

Tiada pihak yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, malah ia harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia atau parti politik.

Walaubagaimanapun, ia tidak bercanggah dengan fahaman bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia —— Melayu, Cina, India, Orang Asli, rakyat Sabah dan Sarawak, dan setiap warganegara yang menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka.

Prinsip kewarganegaraan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak memilih kaum, agama atau wilayah. Setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk merasa bangga, dilindungi dan diterima sebagai sebahagian daripada negara ini.

Patriotisme yang sebenar terletak pada perpaduan, bukan perpecahan. Pemimpin harus membina jambatan, bukan membakar sempadan. Kekuatan terbesar Malaysia adalah pada kepelbagaian kita —— dan kemajuan bersama hanya boleh dicapai melalui saling hormat, saling melindungi dan saling memperkasa.

YB Kerk Chee Yee

ADUN Ayer Keroh

Timbalan Speaker Negeri Melaka

Setiausaha Publisiti DAP Melaka

Recommended Posts