Tiada yang Tertinggal, tiada yang terpinggir : Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) utamakan perlindungan hak pemilik hartanah

84b4fa5f 510c 4bae bc0a 2c3ff3db86b3

Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan mengutamakan perlindungan hak pemilik hartanah untuk memastikan tiada yang tertinggal (leave no one behind), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sdr Nga Kor Ming di parlimen hari ini.

“Kementerian telah melaksanakan 52 kali libat urus dengan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa pilihan khas parlimen supaya RUU Pembaharuan semula bandar dapat berjalan dengan lancar,” tambah beliau.

“Bagi pemilik strata yang bersetuju, kita akan mengemukakan dua cadangan. Pertama, kaedah perundingan secara individu (one-to-one basis), di mana pemilik asal akan memperoleh satu rumah baru atau lebih dengan syarat-syarat yang setimpal.”

“Kedua, sekiranya pemilik ingin menjual hartanah mereka, mereka juga dibenarkan untuk melepaskan hak milik bagi mendapatkan keuntungan,” katanya semasa sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak menegaskan bahawa proses rundingan akan diteruskan sehingga semua pihak mencapai persetujuan mengenai syarat-syarat dan kehendak pemilik yang terlibat. Justeru, KPKT bercadang untuk mewujudkan satu jawatankuasa mediasi bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan projek PSB selain jawatankuasa eksekutif di peringkat persekutuan dan negeri.

Kor Ming berkata, penggubalan akta ini adalah berpaksikan kepada 10 prinsip utama dan ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan kualiti infrastruktur, terutamanya di kawasan yang mempunyai bangunan yang sudah daif atau usang.

“Kita mempunyai kisah kejayaan seperti di Bangsar, Kuala Lumpur, dan Georgetown, Pulau Pinang, di mana bangunan rosak dan usang telah diperbaharui untuk menjadikan kawasan berpotensi komersial seperti kafe yang menarik terutamanya bagi golongan muda,” tambah beliau.

Recommended Posts