Tidak dapat dinafikan bahawa sektor kesihatan merupakan sebahagian daripada sistem sosioekonomi. Oleh itu, kemajuan dalam penjagaan kesihatan secara langsung meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
Menyedari betapa pentingnya sektor kesihatan kepada negara, setiap negeri di Malaysia ini mempunyai jawatan Exco berkaitan kesihatan. Apa yang menariknya, di negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang, ketiga-tiga Exco kesihatannya datang dari wakil rakyat DAP.
Untuk negeri Selangor, di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, saudari Jamaliah Jamaluddin, 34, telah dilantik sebagai Exco Kesihatan Awam & Alam Sekitar. Beliau yang juga ADUN Bandar Utama telah mengangkat sumpah pada 21 Ogos yang lalu menjadikannya Exco termuda dalam pentadbiran kali ini.
Saudari Jamaliah telah mula menggerakkan program kesedaran kesihatan dan galakan saringan secara berkala supaya masyarakat cakna kepentingan pencegahan penyakit di peringkat awal. Beliau juga serius dalam menangani isu kesihatan mental apabila Kerajaan Negeri mula meningkatkan kempen kesedaran mengenai kesihatan mental terutama dalam kalangan penduduk berumur 20 hingga 40 tahun. Kerajaan Negeri ini telah menyediakan ekosistem lengkap bagi mereka yang memerlukan bantuan menerusi program Selangor Mental Sihat (Sehat).
Di Pulau Pinang pula, di bawah kepimpinan Chow Kon Yeow, seorang ahli politik muda iaitu saudara Daniel Gooi Zi Sen, 36 telah dilantik sebagai Exco Belia, Sukan dan Kesihatan. Beliau yang juga ADUN Padang Lalang secara rasminya menggalas tanggungjawab berkenaan selepas mengangkat sumpah terima jawatan pada 16 Ogos 2023.
Komitmen beliau dalam hal kesihatan sangat terserlah apabila beliau sangat komited dalam menangani isu kesihatan mental. Jawatankuasa Kesihatan Mental Pulau Pinang telah ditubuhkan pada 14 November, khas untuk menyelaras isu-isu yang berkait rapat dengan kesihatan mental. Jawatankuasa ini dianggotai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Befrienders Penang, I-Life Suicide Prevention Association, Kiwanis Penang Central, Persatuan Minda D’Home dan PG Care Society.
Di bawah Kerajaan Perpaduan Perak pula, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Menteri Besar telah memberi kepercayaan kepada A. Sivanesan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India. Beliau yang juga ADUN Sungkai telah mengangkat sumpah pada 22 November 2022 lalu.
Dalam hal kesihatan, beliau telah menyatakan bahawa Kerajaan Perak kini telah memperhebat penguatkuasaan termasuk pengeluaran notis dan kompaun sebagai langkah proaktif menangani masalah individu merokok di tempat awam.
Menurutnya, anggaran nilai kutipan kompaun berkaitan penguatkuasaan itu bagi 2022 adalah sebanyak RM1.305 juta, manakala bagi tempoh Januari hingga September tahun ini telah mencecah RM2.114 juta. Jumlah operasi penguatkuasaan sepanjang 2022 adalah sebanyak 2,603 aktiviti, manakala bagi Januari hingga September tahun ini mencatatkan 2,274 aktiviti.
Begitulah hebatnya Exco dari DAP dalam melaksanakan tugas berkaitan portfolio kesihatan. Ketiga-tiga Exco ini membuktikan bahawa di mana sahaja wakil rakyat DAP ditugaskan, mereka akan sentiasa beri yang terbaik.