3 Sektor Ini Terima Manfaat Besar Hasil Lawatan PMX Ke Paris!

whatsapp image 2025 07 10 at 11.28.49 am
Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Paris baru-baru ini bukan sekadar lawatan diplomatik, ia menandakan satu lembaran baharu dalam hubungan dagang antara Malaysia dan Perancis. Dalam era persaingan ekonomi dan transisi tenaga global, pertemuan dua hala ini membawa manfaat nyata yang tidak boleh dipandang ringan, bukan sahaja kepada syarikat gergasi seperti PETRONAS dan AirAsia, malah kepada rakyat biasa yang bakal menikmati limpahan ekonomi dari kerjasama ini.
Salah satu aspek terpenting ialah kerjasama tenaga antara PETRONAS dengan tiga syarikat utama Perancis: Engie SA, TotalEnergies SE, dan Thales SA. Kerjasama ini memberi tumpuan kepada tenaga bersih, utiliti elektrik dan penyelesaian lestari yang sejajar dengan agenda peralihan tenaga negara.
Dalam dunia yang sedang beralih ke arah tenaga hijau, penglibatan PETRONAS dalam projek tenaga boleh diperbaharui akan mempercepatkan transformasi Malaysia ke arah ekonomi karbon rendah. Ini bukan sahaja memelihara alam sekitar, tetapi mewujudkan pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan tenaga dan teknologi lestari, terutamanya bagi graduan TVET dan juruteknik tempatan.
Sektor perlombongan negara turut meraih manfaat besar. Perjanjian persefahaman antara syarikat Malaysia, Malaco Mining Sdn Bhd dan syarikat Perancis, Carester dalam penapisan dan kitar semula nadir bumi merupakan langkah strategik. Sumber nadir bumi adalah kunci kepada teknologi moden, daripada bateri kereta elektrik hingga cip semikonduktor. Dengan wujudnya kemudahan penapisan berteknologi tinggi di Malaysia, negara tidak lagi sekadar pengeksport bahan mentah, sebaliknya bakal menjadi hab pemprosesan nilai tambah yang berpotensi menjana pendapatan tinggi dan memperkukuh kedaulatan sumber.
Industri penerbangan pula menyaksikan anjakan besar. Komitmen AirAsia dan Malaysia Aviation Group (MAG) terhadap pesawat A330 Neo keluaran Airbus menunjukkan keyakinan sektor penerbangan tempatan terhadap teknologi Perancis. Pembelian ini bukan sekadar memperkukuh sektor penerbangan, tetapi memastikan operasi yang lebih efisien, jimat tenaga dan mesra alam. Dalam masa yang sama, ia menyokong industri penerbangan yang pulih pasca pandemik dan menjana lebih banyak pekerjaan dalam sektor penyelenggaraan, kejuruteraan dan pelancongan.
Apa kaitan semua ini dengan rakyat? Jawapannya terletak pada limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan. Bila syarikat besar seperti PETRONAS melabur dalam tenaga hijau, bila kilang nadir bumi dibangunkan dan bila syarikat penerbangan tempatan berkembang, ia mencipta permintaan untuk tenaga kerja tempatan. Juruteknik, operator mesin, jurutera muda, dan pengusaha kecil akan mendapat peluang baharu. Tambahan pula, peningkatan perdagangan dua hala yang kini mencecah RM15.95 bilion menunjukkan Malaysia semakin dipercayai sebagai rakan dagang utama Kesatuan Eropah (EU) yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan kestabilan ekonomi makro.
Lawatan ini mengingatkan kita bahawa diplomasi ekonomi bukan sekadar retorik antarabangsa. Ia adalah alat pembangunan negara. Dan apabila pemimpin tampil dengan visi yang jelas dan strategi yang berani, rakyatlah yang akhirnya menerima manfaat paling nyata sama ada dalam bentuk peluang, pekerjaan dan pendapatan yang lestari.

Recommended Posts