Tiga Tonggak Lim Kit Siang

bh13keskitsiang 1702439118

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) di atas penganjuran majlis makan malam bersempena ulang tahun ke-84 untuk Laoda kita. Kerjaya politik legenda Lim Kit Siang telah menjangkau hampir enam dekad daripada menjadi Ketua Pembangkang Parlimen yang terbaik dan paling lama berkhidmat kepada suara penstabil bagi DAP dalam kerajaan untuk membantu melaksanakan pembaharuan.

Apa yang membuatkan Lim Kit Siang menjadi Lim Kit Siang? Terdapat 3 tonggak yang menjadi pasak buat Lim Kit Siang. Pertama, kepercayaan asasnya dalam melakukan perkara yang betul dan kesanggupan untuk menanggung risikonya. Laoda amat meyakini prinsip Malaysia Malaysia dan keadilan untuk semua. Hanya segelintir yang dapat menjiwai apa yang terpaksa dilaluinya apabila beliau berulang kali ditangkap, ditahan tanpa bicara serta didakwa di mahkamah.

Kedua, kesetiaan penuh Lim Kit Siang kepada parti, rakyat dan negara terserlah dengan keengganannya untuk berpaling tadah dan usaha berterusan mencari ilmu. Kita semua tahu integriti Lim Kit Siang terserlah. Sama hebatnya ialah keupayaannya untuk belajar yang telah memberi inspirasi kepada ramai daripada kita semasa tahun-tahun sukar kita dalam pembangkang dan tahun-tahun awal dalam kerajaan.

Ketiga, kesanggupan Lim Kit Siang untuk melihat kepada gambaran yang lebih besar biarpun terdapat kos politik dan peribadi yang sama besar kepada dirinya sendiri. Sokongan setianya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan kepercayaannya bahawa Anwar dan DAP boleh melakukan reformasi yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

Lim Kit Siang sanggup bersabar untuk memberi masa kepada Menteri kita untuk melaksanakan dan menguatkuasakan pelbagai reformasi. Kita telah melihat ia berlaku apabila Loke Siew Fook berjaya mendapat peruntukan yang lebih tinggi untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Gobind Singh Deo telah berjaya membawa kajian semula SOSMA. Harapan kita adalah lebih banyak lagi kejayaan akan dicapai pada tahun ini.

Biarpun Laoda telah bersara, beliau tetap menjadi mangsa dan difitnah oleh golongan pelampau dan ekstrem perkauman, yang terbaru kerana menjadi sepupu kepada Chin Peng. Ini terus membuktikan bahawa Laoda tidak mengubah prinsipnya, sama ada sewaktu pembangkang mahupun apabila DAP berada dalam kerajaan. Bagi pemimpin kita yang terus difitnah dan diserang oleh golongan perkauman dan ekstremis, ini menunjukkan pendirian anda tidak berganjak walaupun telah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Kami mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-84 kepada Laoda dan semoga Laoda dapat meraikan hari lahir beliau yang mendatang dengan kepimpinan DAP semasa dalam kerajaan bekerja keras untuk membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih baik.

LIM GUAN ENG

Recommended Posts