
KUALA LUMPUR, 8 OGOS – Setelah sebulan pihak polis melepaskan gas pemedih mata dalam kawasan Hospital Tung Shin sewaktu perhimpunan aman Bersih 2.0, pihak berkuasa masih mencari helah untuk lari dari tanggungjawab.
DAP hari ini menyelar Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Kesihatan kerana masih berdolak dalik berhubung kesedian empat pemimpin DAP untuk membantu jawatankuasa tersebut berkaitan serangan gas pemedih mata oleh polis.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, Kementerian Kesihatan sengaja mengelak tanggungjawab menyiasat itu kerana mereka sedar bahawa seluruh dunia sudah mengetahui kebenaran bahawa memang hospital tersebut diserang.
“Bukan sahaja melengah-lengahkan siasatan yang dituntut kami, tetapi mereka meminta pula pihak polis menyiasat kami,” katanya dalam siding akhbar di sini hari ini.
Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara telah menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi bersama bukti video dan gambar berhubung penafian pihak polis atas serangan yang dilakukan mereka terhadap Hospital Tung Shin pada 9 Julai lalu.
Beliau bersama Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari telah menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi.
Malah, menurut Perjanjian Geneva oleh kesemua negara di dunia, hospital merupakan kawasan larangan, dan tidak boleh diserang dalam apa-apa kes pun.
Mengulas lanjut, Pua berkata DAP menerima surat rasmi dari Setiausaha Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Kesihatan Malaysia, Zailani Hashim, melalui faks pada 29 Julai lalu, meminta menghadiri sesi inkuiri siasatan dalam tragedi serangan di Hospital Tung Shin.
Bagaimana pun, Pua melalui surat balas kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Kamarul Zaman, mejelaskan surat yang dihantar kementerian tersebut terlalu lewat, dan surat tersebut bukan ditujukan kepada beliau, Zairil, Nie Ching atau Chin Tong, sebaliknya berupa surat umum kepada Ibu Pejabat DAP.
Berikutan itu, pada 5 Ogos, Urusetia Jawatan Kuasa Siasatan Dalaman Kementerian Kesiahatan Mohamad Khusaini telah memohon maaf dan berjanji pihak kementerian akan bekerjasama dengan pihak polis untuk membina laporan siasatan yang bakal diadakan kelak.
Mengenai pihak polis yang menghubungi beliau pula, Pua berkata seorang anggota polis meghubunginya dan berkata: ‘Saya dengar ada empat orang (saksi). Bawa sekali mereka”, seolah-olah polis tersebut tidak serius dengan kesungguhan keempat-empat Ahli Parlimen itu.
Walau pun mereka bersedia menurut arahan polis untuk menyediakan bukti, Pua menjelaskan mereka perlu berhati-hati kerana ia mungkin boleh dimanipulasikan polis untuk kepentingan politik.
“Kemungkinan apa yang bakal kami jelaskan kepada pihak polis akan dijadikan jerat, dan mungkin juga mereka mahu mencari salah kami,” katanya.
Menurutnya, ‘jerat’ seumpama itu boleh menjadi sumber untuk memfitnah DAP, sebagaimana yang sering dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional melalui media kawalannya. – Roketkini.com