Tuduhan UMNO takut batuk DAP: Adakah PAS ‘pukul anak, sindir menantu’?

472620735 1157262532424759 9085010253203210728 n

1. Saya ingin mengulas kenyataan ‘berapi’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang tampaknya begitu berlagak menyelar UMNO kerana dikatakan “takut kepada batuk kecil DAP”. Menarik sekali bagaimana beliau cuba mencipta drama bahawa UMNO begitu pengecut berdepan DAP kononnya, tetapi secara tidak langsung turut menuduh semua pihak yang mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong – termasuklah Baginda sendiri serta Ketua Polis Negara – sebagai “pengecut” juga.

2. Bayangkan, jika mengikut logik dangkal Tuan Ibrahim, maka keputusan UMNO untuk patuh pada titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan saranan Ketua Polis Negara bererti mereka pun “takut dengan batuk kecil DAP”. Jadi, bukankah Tuan Ibrahim juga sebenarnya sedang menuduh Tuanku Agong dan PDRM sebagai sama “pengecut” kerana tidak menentang “batuk” yang khayalannya direka begitu hebat sekali? Tidakkah ini suatu bentuk derhaka terselindung paling luar biasa?

3. Kegagalan Tuan Ibrahim memahami bahawa menghormati Institusi Diraja dan kuasa prerogatif Baginda Tuanku bukanlah soal “takut” tetapi keutamaan terhadap keamanan negara membuktikan betapa ceteknya pemahaman politik beliau. Lebih teruk, beliau tidak sedar bahawa mematuhi nasihat Ketua Polis Negara untuk menjaga ketenteraman awam tidak ada kena-mengena dengan tunduk kepada sesiapa pun, apatah lagi “takut kepada batuk kecil DAP”. Mengaitkannya dengan berselindung di sebalik titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan gesaan PDRM adalah naratif politik paling kurang bijak yang dapat difikirkan setakat ini.

4. Tidakkah Tuan Ibrahim sedar bahawa Baginda Agong tidak pernah tunduk kepada mana-mana parti politik, melainkan berdiri atas kedaulatan Perlembagaan Persekutuan? Malah, Titah Baginda tempoh hari dengan jelas menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam tatacara permohonan pengampunan dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda. Justeru, tuduhan “takut DAP” atau “takut batuk” semata-mata hanyalah rentetan tohmahan ala sandiwara derhaka yang membawa makna besar memperlekehkan kebijaksanaan dan hak Seri Paduka Baginda, pihak istana, serta keseluruhan sistem keadilan negara.

5. Tuan Ibrahim mahu menjaja imej kononnya PAS “memperjuangkan keadilan” tanpa bersandar pada mana-mana pihak. Namun secara paradoks, beliau menyerang UMNO kerana kononnya membiarkan DAP menentukan hala tuju mereka. Ironinya, apabila pihak istana menggariskan pendirian serta polis menzahirkan kebimbangan keselamatan, Tuan Ibrahim tetap menuduh semua itu berlaku kerana “takut kepada batuk kecil DAP”. Kalau bukan bernasib baik, mungkin keceluparan beliau ini boleh sahaja disifatkan sebagai satu penghinaan kepada Istana dan PDRM.

6. Oleh itu, saya sarankan Tuan Ibrahim bertenang dan mengambil cermin untuk meneliti semula kenyataan beliau. Jika mahu mempolitikkan apa jua situasi, buatlah dengan bijak, bukan melempar tohmahan yang mengundang persoalan: adakah Seri Paduka Baginda dan Ketua Polis Negara juga “termasuk dalam kelompok pengecut” versi Tuan Ibrahim?

7. Tidak penting sama ada itulah yang difikirkannya; logiknya memang jelas. Mungkinkah Timbalan Presiden parti sebesar PAS boleh terlepas fikir, terlepas pandang, terlepas timbang akan tempias tuduhan beliau? Tidakkah tuduhan “batuk kecil” ini sebenarnya berniat “pukul anak, sindir menantu”? Tidakkah ini menyerlahkan kederhakaan PAS?

HOWARD LEE
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP
Bendahari DAP Perak
Ahli Parlimen Ipoh Timor

Recommended Posts