Ucapan Setiausaha Agung DAP Sdr Anthony Loke Siew Fook di Pemukiman Kebangsaan DAP sempena Ulang Tahun ke-58 penubuhan DAP pada 18 Mac 2024

f56a9f3f cd82 4686 9c6b 341def05aa86

Parti Tindakan Demokratik ditubuhkan pada 18 Mac, 1966, iaitu 58 tahun yang lalu.

Sepanjang sejarah perjuangannya, ramai pihak melihat DAP sebagai sebuah parti politik pembangkang tegar yang tidak mungkin sampai ke puncak kuasa.

Namun, sangkaan mereka meleset. Walaupun mengambil masa yang agak lama, pada 2008 DAP akhir berjaya berkongsi kuasa di beberapa negeri, khususnya Pulau Pinang dan Selangor. Sepuluh tahun kemudian, DAP turut mencatat sejarah apabila menjadi komponen Kerajaan Persekutuan di antara Mei 2018 dan Februari 2020, dan kemudian kembali sekali lagi ke Putrajaya sejak November 2022.

Sebagai pembangkang, DAP menjadi suara hati rakyat dengan memegang peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, di samping menjuarai isu-isu rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Kini, bersama dengan Kerajaan Perpaduan, DAP terus memainkan peranan sebagai pembina negara untuk memupuk cita-cita Bangsa Malaysia, dan berpegang teguh dengan nilai-nilai demokrasi sosial yang menjadi teras perjuangan parti.

Negara kita kini berada dalam transisi daripada orde politik lama kepada satu lembaran baharu. Kita sedang berdiri di atas titik kebangkitan, dan DAP mahu meyakinkan rakyat bahawa Malaysia mampu bangkit kembali, gagah seperti suatu ketika dahulu.

Untuk bergerak maju, negara kita perlu diterajui nasionalisme Malaysia yang bersifat inklusif, toleran, serta mampu memberi makna tujuan hidup untuk setiap rakyat.

Aspirasi Kerajaan Perpaduan adalah untuk melihat Malaysia bersatu walau berbeza budaya, dan memastikan perpaduan menjadi teras kekuatan negara. Dengan menyokong penuh prinsip ini, misi DAP adalah untuk membawa politik negara ini ke jalan tengah agar Malaysia tidak terheret ke dalam kancah ekstremisme.

Dengan ideologi demokrasi sosial sebagai panduan, DAP mewakili rakyat biasa – impian mereka adalah untuk kehidupan yang lebih baik serta masa hadapan yang lebih cerah untuk anak-anak mereka.

DAP dan Kerajaan Perpaduan akan memberi lebih tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat. Kita mahu reformasi dasar gaji dan upah yang lebih progresif, jaminan perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik, dan pertambahan besar penyertaan wanita dalam alam pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

Apabila Malaysia bersatu melalui pentadbiran Kerajaan Perpaduan, ia mampu  berhadapan dengan cabaran serantau dan global, terutamanya dalam konteks polarisasi masyarakat di negara-negara maju serta dengan adanya persaingan dua kuasa besar – Amerika Syarikat dan China.

Dengan dasar luar Malaysia yang berkecuali, negara kita banyak mendapat manfaat daripada persaingan geopolitik dunia. Bagaimanapun, ini sahaja tidak mencukupi. Kita mahu melihat syarikat-syarikat Malaysia menjadi pemimpin teknologi dan pencetus inovasi yang dapat mencipta peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal untuk warga Malaysia.

Pelaburan besar yang sedang pesat masuk ke Malaysia juga perlu memastikan rakyat Malaysia akan mendapat manfaat melalui tawaran pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih tinggi, di samping melibatkan penyertaan syarikat-syarikat tempatan di semua peringkat.

Matlamat kita adalah untuk melahirkan masyarakat kelas pertengahan Malaysia yang kukuh di mana golongan di peringkat paling bawah (termiskin) akan berkurangan apabila taraf hidup mereka berjaya dinaikkan. Segala dasar ekonomi negara dapat berjalan lancar apabila kita mempunyai masyarakat kelas pertengahan yang stabil.

Saya yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, mampu mengangkat martabat, maruah dan ekonomi negara kita.

Kepada semua penyokong, ahli dan pemimpin DAP, saya ucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-58. Teruskan perjuangan!

 

 

 

 

 

Recommended Posts