
1. Hujan berterusan selama dua hari bermula Rabu 19hb Mac 2025. Banyak kawasan mula dinaiki air sehari berikutnya iaitu pada Khamis 20hb Mac 2025. Antara yang teruk terlibat adalah parlimen Pasir Gudang, Tebrau, Pulai, Iskandar Puteri dan Kulai
2. Paling serius mengikut pemerhatian Unit Tindak (UT) DAP Johor adalah di Kangkar Tebrau, Bukit Mutiara, Skudai dan Perling. Kawasan Taman Tampoi Utama merupakan PERTAMA KALI dilanda banjir sejak 20 tahun lalu.
3. Walaupun demikian, kami bersyukur kerana tiada kemalangan nyawa dikalangan mangsa banjir. Hanya kecederaan biasa ketika proses pemindahan mangsa dari kawasan banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
4. Kawasan Perling antara yang terpaksa diputuskan bekalan elektrik. Hal ini kerana SOP oleh pihak TNB iaitu; bekalan elektrik mesti dimatikan apabila air banjir naik sehingga 4 kaki. Lebih 11 ribu orang telah terkesan oleh SOP TNB ini.
UNIT TINDAK ANTARA YANG TERAWAL MEMBANTU MANGSA
5. Unit Tindak (UT) DAP Johor telah mula membantu kawasan terjejas sejak awal pagi 20hb Mac lagi. UT telah turun ke kawasan Tebrau, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang. Kemudian ke kawasan Pulai dan Kulai.
6. Seramai 50 sukarelawan UT telah ambil bahagian untuk membantu mangsa banjir. Sukarelawan ini telah diketuai oleh Saudara Koh Chia Heng. Antara yang terkesan teruk adalah di SK Tampoi Utama apabila 39 orang murid dan guru terkandas sehingga lewat malam 20hb Mac.
7. Pasukan UT telah bantu memindahkan mangsa dari SK Tampoi Utama ke PPS bersama-sama pihak Bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
8. Dalam usaha UT membantu mangsa banjir, Jawatankuasa DAP Johor telah memberi sumbangan awal sebanyak RM5000 untuk membeli peralatan pembersihan, makanan sukarelawan, dan barang-barang lain bagi memudahkan urusan pergerakan dan gerak kerja UT.
9. Banyak rumah yang mengalami kerosakan perabot. UT telah bantu kerja-kerja pembersihan dengan menempah 8 tong RORO bagi membantu pihak SWM. Pada 22hb Mac RORO telah sampai di kawasan pembersihan rumah mangsa banjir.
10. Selain itu, UT juga mengumpulkan banyak bantuan terutamanya berbentuk makanan dari orang awam untuk dihantar ke PPS dan mangsa-mangsa banjir.
HARAPAN UNIT TINDAK JOHOR
11. UT mengucapkan terima kasih pada Menteri Besar Johor yang telah umumkan bantuan kewangan untuk mangsa banjir. Walau bagaimana pun, UT berpandangan tindakan pantas dari pihak SWM dan PBT adalah sangat penting sekarang ini untuk proses pemulihan. Lebih-lebih lagi, ramai mangsa banjir akan menyambut Aidilfitri pada minggu hadapan.
12. Justeru kerja-kerja pembersihan sampah, mengangkut perabot rosak yang terlonggok di hadapan rumah perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib. UT berharap isu sampah boleh diselesaikan segera kerana dibimbangi boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk.
Sheikh Omar Ali
Naib Pengerusi DAP Johor