Penggunaan peranti yang semakin rancak terutamanya dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak meningkatkan risiko terdedah kepada kandungan berbahaya di ruang siber. Sebagai contoh, tahun ini sahaja, Facebook telah menurunkan 172,072 kandungan melibatkan judi dalam talian dan 56,136 kandungan berkaitan penipuan (online scam) atas permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Selain itu, pengguna juga wajar mendapat perlindungan daripada ancaman jenayah dan eksploitasi seksual, kandungan palsu, dan buli siber turut yang memudaratkan masyarakat.
Menyedari hakikat ini, kebanyakan negara telah mengambil langkah penyelesaian drastik tersendiri. Misalnya, Australia telah memperkenalkan larangan bagi individu bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, dan Singapura memperkenal Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) bagi menyekat penyebaran kandungan-kandungan palsu.
Berbanding negara-negara ini yang menggubal undang-undang baharu, Malaysia pula mengambil langkah berbeza dengan mengukuhkan peruntukan sedia ada. Semalam, Kementerian Komunikasi telah membentangkan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi bacaan kali pertama.
Selain pengukuhan kaedah penyiasatan bagi kesalahan dalam talian menerusi pindaan ini, kita juga harus menyambut baik langkah memasukkan huraian bagi semua jenis elemen kandungan yang dapat menjadi panduan buat pihak berkuasa dalam penguatkuasaan supaya peruntukan tersebut tidak disalahgunakan. Sebagai contoh: penjelasan bahawa kandungan berbentuk satira tidak dianggap sebagai palsu dapat mencegah mana-mana karya fiksyen yang dianggap parodi daripada disekat.
Akhir sekali, usaha melindungi setiap anggota masyarakat daripada mudarat siber tidak sepatutnya bergantung kepada peruntukan undang-undang semata-mata. Program pendidikan dan kesedaran perlu digerakkan bersama-sama agar kita cakna akan peranan masing-masing dalam mewujudkan ruang siber yang selamat dan inklusif.
Raja Ahmad Iskandar Fareez
Naib Ketua DAPSY Kebangsaan