Wakil Rakyat PN: Turun Cari Najis Boleh, Turun Tengok Flat Usang Tak Mahu?

flat usang ph vs pn

Dalam dunia politik, perbezaan pendekatan dan keutamaan sering mencerminkan sikap sebenar wakil rakyat terhadap rakyat yang mereka wakili. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura dari DAP, turun padang menyertai XPDC Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Lawatan ini bertujuan untuk memberi gambaran jelas tentang cabaran pembangunan semula kawasan bandar yang usang, satu langkah penting ke arah memperkasakan komuniti bandar.

Young Syefura berkongsi dalam hantaran Facebooknya bahawa XPDC ini melibatkan lawatan ke beberapa tapak perumahan lama seperti Flat Desa Bakti dan Flat Kuchai Jaya, yang jelas memerlukan penambahbaikan untuk menjamin kesejahteraan penduduk. Inisiatif ini juga memberi peluang kepada wakil rakyat untuk melihat sendiri kejayaan projek pembaharuan seperti Residensi Kerinchi dan 1 Razak Mansion, yang kini menjadi simbol pembangunan moden yang lebih mampan dan selamat.

Lebih penting lagi, RUU Pembaharuan Semula Bandar yang sedang digubal ini bukan sekadar ‘lawatan biasa’, tetapi satu langkah untuk memastikan bandar-bandar lama yang terbiar dan usang dapat dipulihkan dengan lebih terancang. Ia adalah cerminan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Inisiatif ini jelas memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang, demi kepentingan rakyat.

Namun, malangnya, terdapat juga segelintir wakil rakyat yang memilih untuk ‘jual mahal’ dan enggan menyertai lawatan ini. Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi, misalnya, menyifatkan jemputan Menteri KPKT, Nga Kor Ming, untuk melawat flat usang sebagai usaha politik semata-mata. Baginya, wakil rakyat tidak sepatutnya “disamakan dengan pelajar sekolah” dan seharusnya lebih diberi perhatian kepada kampung-kampung yang memerlukan pembangunan.

Ironinya, walaupun enggan turun melihat keadaan sebenar perumahan rakyat di bandar, pemimpin PAS dan jentera pilihan rayanya sanggup turun ke sungai untuk mencari najis babi semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak yang baru selesai baru-baru ini. Mereka, termasuk Ketua Penerangan PAS dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mendakwa air di Sungai Bidor dicemari najis babi, sekaligus menjadikan isu ini modal politik untuk meraih undi.

Soalnya sekarang, apakah keutamaan sebenar mereka? Jika melihat keadaan flat usang untuk memahami masalah rakyat dianggap tidak penting, tetapi sanggup pula turun ke sungai demi isu yang lebih bersifat provokatif, maka rakyat wajar menilai niat sebenar mereka. Adakah mereka benar-benar mahu memperjuangkan nasib rakyat atau sekadar bermain sentimen untuk kepentingan politik semata-mata?

Recommended Posts