Wanita BN tak faham cabaran sebenar yang dihadapi golongan wanita – Shu Qi

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kluang merangkap Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangasaan DAP, Wong Shu Qi pada 23 September 2022 (Jumaat): 

Wanita Barisan Nasional (BN) telah mencadangkan penubuhan sebuah universiti awam khusus buat wanita sebagai tawaran manifesto BN. Malangnya, sebuah universiti awam wanita langsung tidak menyelesaikan masalah malah menunjukkan bahawa Barisan Nasional tidak faham cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita. 

Enrolmen pelajar perempuan di universiti awam melebihi pelajar lelaki sejak 10 tahun lalu atau lebih awal lagi. Menurut kajian Penang Insititute pada tahun 2016[1], Indeks Kesaksaman Jantina (Gender Parity Index, GPI) bagi semua universiti awam Malaysia adalah 1.71 pada tahun 2013. Ini bermakna kita mempunyai 1.71 orang pelajar perempuan berbanding dengan setiap orang pelajar lelaki di universiti. 

Pada tahun 2017, peratusan pelajar perempuan kekal pada 63.5% maka lelaki pula hanya 36.5% bagi semua universiti awam[2]. Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad melaporkan bahawa 61% pelajar di universiti awam sekarang adalah perempuan. Jelas, golongan wanita tidak menghadapi masalah untuk masuk ke universiti. 

Sebaliknya, masalah yang dihadapi oleh golongan wanita adalah peluang kerjaya dan cabaran tanggungjawab dalam keluarga selepas mereka tamat pendidikan tinggi. Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh pada tahun 2020 adalah 55.3% sahaja berbanding dengan kadar penyertaan lelaki pada 80.6%. Justeru, masalah pokok di sini adalah, sebahagian besar wanita tidak mengambil bahagian dalam pasaran buruh selepas mereka tamat pengajian. 

Gambaran situasi menjadi lebih jelas sekiranya kita meneliti kadar penyertaan wanita dan lelaki mengikut kumpulan umur. Wanita yang paling aktif dalam pasaran buruh adalah mereka dalam kumpulan umur 20 – 24 tahun, iaitu 76.1%. Namun begitu, kadar penyertaan wanita mula menyusut pada kumpulan umur 25 ke atas. Pada masa yang sama, kadar penyertaan lelaki dalam pasaran buruh mencapai 98% bagi golongan umur 35 – 39 ketika kadar penyertaan perempuan turun kepada 68.1%. 

Kadar penyertaan dalam pasaran buruh mengikut kumpulan umur (tahun 2020)[3]

UmurWanitaLelaki
15–6455.380.6
15–1913.125.8
20-245571.8
25–2976.194
30–3472.597.4
35–3968.198
40–4466.497
45–4962.795.9
50–5456.392.7
55–5940.980.7
60–6423.155.3

Malah, Malaysia menduduki kedudukan ke-103 dalam Indeks Jurang Jantina 2022 antara 146 negara yang diukur oleh Forum Ekonomi Dunia. Kita hanya 3 tempat lebih tinggi daripada Myanmar. Negara jiran lain seperti Indonesia dan Kemboja menduduki tempat ke-92 dan 98 masing-masing.  

Masalah di depan mata kita adalah, lebih ramai lelaki aktif dalam pasaran buruh tetapi pelajar lelaki mempunyai enrolmen yang rendah di universiti awam. Sebaliknya, ramai perempuan memasuki universiti awam tetapi tidak sambung kerja selepas umur 25 ke atas. 

Cadangan penubuhan sebuah universiti awam wanita langsung tidak menyelesaikan masalah tersebut.

Cadangan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ketidakpadanan ataupun “mismatch” ini adalah mempergiatkan TVET supaya lebih ramai pelajar lelaki menerima latihan sehingga peringkat yang tertinggi agar kemahiran tenaga kerja lelaki kita dapat dipertingkatkan. Kedua, kerajaan harus menyediakan mekanisme dan jaringan sokongan yang lebih baik supaya wanita boleh terus mengejar impian mereka dalam kerjaya. Sekiranya kita mempunyai jaringan sokongan yang kuat, ramai wanita akan terus mengambil bahagian dalam sektor pekerjaan. – Roketkini.com

Recommended Posts