Fitnah, Kena Saman, Minta Maaf dan Ulang Lagi – Amalan “Raja Fitnah” PN di Perak yang Perlu Rakyat Ayer Kuning Tolak

whatsapp image 2025 04 14 at 1.31.20 pm

Ketua Pemuda DAP yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Woo Kah Leong memanaskan ceramah politik di Ayer Kuning baru-baru ini apabila melontarkan kritikan keras terhadap seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang digelarkannya sebagai “raja fitnah” sama ada dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ataupun di luar sidang.

Dalam ucapannya yang disambut sorakan para hadirin, beliau terlebih dahulu menyentuh isu tular di media sosial yang melibatkan dakwaan palsu daripada seorang pempengaruh media sosial pro-PN kononnya murid-murid sekolah rendah di Perak menyanyikan lagu kebangsaan dalam bahasa Cina. Menurut Woo, lagu yang dimainkan sebenarnya adalah lagu kebesaran negeri Perak, namun telah diputar belit oleh Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema.

“Baru-baru ini bila kita buka TikTok, kita nampak satu ratu fitnah. Dia pergi serang murid-murid sekolah rendah. Kononnya, nyanyikan lagu kebangsaan dalam bahasa Cina. Padahal itu lagu kebesaran negeri Perak. Dia boleh dengar sampai lagu kebangsaan dalam bahasa Cina. Mungkin mata dengan telinga dia ada masalah,” katanya dengan nada sinis.

Beliau menambah, Pemuda PH sepatutnya membantu individu tersebut mendapatkan rawatan kesihatan daripada terus berdepan tindakan undang-undang, merujuk kepada betapa kerapnya individu itu terlibat dengan penyebaran maklumat palsu.

Namun, tumpuan utama dalam ucapannya terarah kepada seorang lagi tokoh politik dari PN yang digelar sebagai “raja fitnah” kerana mempunyai rekod panjang menyebarkan tuduhan tidak berasas terhadap tokoh-tokoh utama PH. Individu yang dimaksudkan di sini ialah ADUN Gunung Semanggol yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria.

Beliau menyenaraikan beberapa insiden berbaur fitnah yang keluar dari mulut Razman, termasuk dakwaan palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya terlibat dengan isu LGBT, fitnah terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membawa kepada denda RM200,000, serta fitnah terhadap Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang turut berakhir dengan denda RM200,000.

Beliau turut menyelar tuduhan tidak berasas terhadap Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan dirinya sendiri kononnya terlibat dalam insiden mengibar bendera China dalam satu perarakan tokong tahun lalu.

“Lepas dibagi surat (saman), apa yang dia buat? Dia mohon maaf sekali lagi,” katanya, merujuk kepada tindakan Razman yang didakwa sering membuat tuduhan dan kemudian memohon maaf selepas ditegur atau disaman.

Dalam insiden terbaru di DUN Perak, Razman sekali lagi terpaksa memohon maaf, kali ini kepada Menteri Besar Perak dalam sesi penggulungan persidangan. Namun yang lebih mengejutkan menurut Woo Kah Leong ialah dakwaan individu sama yang mengaitkan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh sebagai anak kepada tokoh korporat terkenal, mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay.

“Ini memang raja fitnah yang teruk,” tegasnya di hadapan para penyokong

Sebagai penutup ucapannya, beliau menyeru rakyat khususnya golongan muda di kawasan Ayer Kuning untuk menolak budaya fitnah yang dilihat semakin berleluasa dalam kalangan parti pembangkang.

“Kita sebagai anak muda, rakyat Ayer Kuning yang dengar ceramah ini, sila bantu kita untuk tolak Perikatan Nasional supaya kita hilangkan budaya fitnah dalam kalangan(rakyat) negeri Perak,” katanya penuh semangat.

Recommended Posts