Kemenangan calon DAP-PH di Sungai Pelek seakan suatu keajaiban. Bukan sahaja kerana ia merupakan kawasan majoriti Melayu, tetapi juga merupakan kawasan luar bandar. Selalunya sudah menjadi kelaziman untuk pihak lawan menggunakan retorik DAP parti Cina. Sentimen sedemikian sebenarnya sudah tidak laku.
“Susah nak menang kerusi ni”. Itulah rungutan awal yang kami terima daripada para petugas yang sudah bekerja seminggu lebih awal di sana.
Kerusi DUN Sungai Pelek adalah antara satu kerusi yang paling unik dan mencabar. Dengan komposisi hampir 60 peratus penduduk di kerusi berkenaan terdiri daripada kaum Melayu, manakala pengundi Cina hanya 20 peratus lebih. Pengundi India pula tak sampai 15 peratus.
Pada minggu pertama kempen, calon DAP; Lwi Kian Keong dikatakan berada dalam posisi bahaya. Bilik gerakan utama memutuskan supaya kehadiran calon di media sosial diperhebatkan.
Hari pertama tugasan berjalan pantas tanpa sebarang isu. Hari kedua merupakan hari yang menarik kerana diisi dengan jadual kempen yang padat termasuklah Ceramah Perdana yang menampilkan nama-nama besar pada malam itu.
Kami seperti biasa membuat perancangan awal bagaimana untuk mendapatkan dan merakam momen-momen menarik untuk dijadikan bahan di TikTok. Kami hadir lebih awal ke tempat ceramah yang tidak begitu jauh dari bilik gerakan utama.
Setibanya di tapak ceramah, dalam hati terdetik rasa tidak begitu senang. Seakan begitu sukar sekali untuk menang. Kalau ikutkan aturcara, ceramah sepatutnya bermula jam 8 malam. Tetapi walaupun jam telah menunjukkan jam 8.15 malam, kerusi masih kosong. Hanya beberapa sahaja yang terisi.
Ketika itu, memang rasa macam tak ada harapan. Menginjak jam 8.45 malam semakin ramai yang datang dan memenuhi tempat duduk, tetapi hampir kesemua yang datang adalah penyokong tegar Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sahaja. Masing-masing memakai baju parti dan juga saling mengenali antara satu sama lain.
Nampaknya memang tiada pengundi biasa yang datang, walaupun ceramah itu dihadiri oleh barisan pemimpin utama.
Macam mana nak tarik pengundi biasa atau pengundi atas pagar di DUN Sungai Pelek ni?
Suam-suam Kuku
Pada hari kedua terakhir sebelum tamatnya tempoh berkempen, kami sekali lagi turun padang mengikut calon beraktiviti dan berjumpa dengan para penduduk setempat.
Sebenarnya, kawasan Sungai Pelek ni sangatlah besar. Dari satu tempat ke tempat yang lain boleh mengambil masa sehingga 20-30 minit jarak perjalanan. Memang agak mencabar bagi calon untuk memastikan dapat bertemu dengan seramai mungkin pengundi.
Pada hari tersebut, kempen bertumpu di bahagian Selatan terutamanya di kawasan peranginan terkenal di Sepang iaitu Bagan Lalang dan kawasan setempat.
Sambil menunggu aktiviti seterusnya, kami sempat singgah di salah satu warung yang terletak di Kampung Hulu Chuchoh sambil menunggu Pertandingan Sepak Penalti yang bermula pada sebelah petang di kampung tersebut.
Ketika asyik menghirup cendol, kami terdengar perbualan antara dua orang lelaki pertengahan usia yang duduk di meja sebelah. Antara perbualan yang menarik ialah apabila salah seorangnya bertanya sama ada kawannya akan keluar mengundi.
Belum sempat, pertanyaan itu dijawab, lelaki pertama berkata yang dia akan keluar mengundi sambil memberitahu bahawa dia akan undi parti Anwar.
“Kita undi je sekarang, kalau tak elok 5 tahun lagi kita tukar!” ujarnya.
Ternyata lelaki berpangkat pakcik ini cukup berani untuk menyatakan pendirian politiknya kepada rakan-rakan setempat.
Rakyat juga sudah tak takut untuk mengundi perubahan. Kalau dia nampak wakil rakyat tak buat kerja, tiada perubahan dalam kawasan atau pada kehidupannya sendiri, rakyat tidak akan teragak-agak untuk menukar sokongan mereka. Politik Malaysia tak mudah diramal seperti dulu. Semuanya boleh berubah pada pada bila-bila masa.
Selesai pekena cendol, kami terus ke pertandingan yang terletak tidak jauh daripada warung kami singgah minum tadi. Sesampainya kami di sana, sudah ramai peserta terdiri dari anak-anak muda yang sedang menunggu giliran. Umur peserta rata-rata dalam 18-21 tahun. Semuanya Melayu.
Saudara Lwi, calon PH pun dah sampai dan terus bersembang dengan penduduk. Lwi adalah seorang yang senang bergaul. Dia tidak langsung kelihatan kekok untuk bertemu dan beramah mesra dengan penduduk setempat. Ya lah, dia pun dah berkhidmat di sana sebagai Ahli Majlis selama 13 tahun! Tak kisah lah dia ‘DAP’, ‘Cina’, Lwi adalah orang lama di sana dan penduduk pun dah kenal.
Pertandingan tersebut berjalan dengan lancar dengan bantuan jentera UMNO. Mereka pun memikul tanggungjawab yang besar bagi memperkenalkan calon ke kawasan-kawasan kampung Melayu.
Hari Penentu
Terasa hari Sabtu itu berjalan terlalu perlahan, ditambah pula dengan rasa gementar yang ada.
Sambil menunggu, sambil makan kerepek. Selepas sahaja pengumuman penutupan pusat mengundi dilakukan, kami tidak berganjak daripada menatap skrin, kerana perasaan gementar ingin mengetahui keputusan sangatlah membuak-buak.
Satu persatu DUN telah diumumkan keputusannya. Semasa pengumuman pengiraan undi awal, nampaknya kiraan undi di Sungai Pelek agak sengit antara calon PH dan Perikatan Nasional.
Menjelang tengah malam, kerusi DUN Sungai Pelek sah dimenangi oleh Pakatan Harapan!
Lwi Kian Keong menang dengan 17,7984 undi! Kemenangan yang cukup bersejarah buat parti DAP dan Pakatan Harapan. Punyalah kagum sampai tak perasan habis satu balang kerepek.
Demikianlah ceritanya.