YB Haji Razman ulang kenyataan perkauman, sidang DUN bukan tempat berpolitik

469182580 1002491888559897 3337395697170854522 n

Sebagai generasi pelapis negara, saya malu melihat bagaimana Ketua Pembangkang Perak, YB Haji Razman Zakaria bermain politik perkauman dan hasutan di dalam Mesyuarat Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri ke-15 dan bukannya berbahas selayaknya seorang wakil rakyat.

Saya sebenarnya hairan dengan tohmahan YB Haji Razman yang juga merupakan ADUN Gunung Semanggol yang sepertinya obses mahu menyatakan bahawa rakyat Malaysia berbangsa Cina kesetiaan mereka adalah pada negara China apabila menyentuh insiden kibaran bendera China di Menara Condong, Teluk Intan sebelum ini.

Apa yang cuba dibuktikannya? Lebih-lebih lagi apabila beliau mengulangi kenyataan “sesiapa yang mempunyai mata dan kulit sama perlu bersatu” dan mengajak ahli-ahli DUN yang menyokongnya berdiri. Saya sendiri merasa malu melihat situasi ini yang terang-terangan bersifat perkauman serta dilihat tidak menghormati Sidang DUN yang sepatutnya menjadi medan perbahasan yang sihat.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) saya yakin merupakan platform wakil-wakil rakyat yang dipilih menunjukkan kemampuan mereka membentangkan, membahas atau mencadang polisi serta dasar yang dapat memanfaatkan rakyat.

Anehnya, dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025 Ketua Pembangkang, YB Razman menggunakan platform tersebut untuk berpolitik, menghasut ke arah politik “us versus them” yang saya bimbang boleh menyebabkan masyarakat yang mendengar semakin terpecah-belah.

Dewan Undangan Negeri jelas sekali bukan tempat untuk mengutarakan pandangan politik sempit apatah lagi yang tidak menguntungkan negeri serta Malaysia keseluruhannya.

Sebagai generasi muda, kita memerlukan pemimpin hari ini yang dapat menjalankan tanggungjawab membangunkan negara dan dalam masa yang sama memain peranan agen perpaduan bangsa, bukannya perpecahan atau perbalahan yang boleh mengganggu-gugat proses pembinaan negara.

Syaheera Ghafar
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan

Recommended Posts