
Kalau tengok pada statistik terdapat trend yang sangat membimbangkan dalam kalangan pelajar dari institusi awam dan swasta yang dilaporkan menghidap HIV iaitu 214 pada tahun 2020 , diikuti 186 kes (2021), 221 kes (2022) dan 244 kes (2023) jika dikira umur 18-25 tahun dan tahun lepas turun semula kepada 222 orang kalau mengikut umur 18-19 tahun.
Ada dua isu utama yang perlu ditangani. Pertama, ini adalah fenomena kebejatan moral di kalangan pelajar yang terdedah kepada pornografi dan budaya tidak sihat pada usia muda dan mengamalkan seks bebas tidak kira sama ada homoseksual ataupun berlainan jantina. Kedua isu kurangnya kesedaran tentang pendidikan seksualiti untuk menjaga kepentingan dan kesihatan reproduktif mereka.
Saya setuju dengan saranan Majlis Aids Malaysia (MAC) agar menurunkan had usia saringan HIV dari 18 ke 16 tahun dan saya minta kerajaan pertimbangkan untuk mewajibkan saringan ini kepada pelajar IPT. Sudah tentu, keputusan saringan perlulah dijamin kerahsiaan agar melindungi pelajar dari stigma negatif dan membantu mereka mendapatkan rawatan awal segera.
Saya menggesa ibu bapa untuk turut memainkan peranan ini untuk memantau aktivti anak-anak di universiti khususnya siapakah lingkungan kawan-kawan mereka dan menggalakkan mereka membuat saringan. Pihak universiti juga perlu terus giat melaksanakan kempen kesedaran dan menggalakan pelajar menyertai aktivti berfaedah dan mengelakkan pergaulan melampau yang boleh menjurus kepada aktviti seksual bebas dan penyalahgunaan dadah yang membawa penyakit merbahaya yang boleh membawa maut.
Kepada para pelajar dan penuntut IPT, anda adalah harapan negara. Jangan perjudikan nasib dan masa depan anda dengan pergaulan bebas yang merosakkan dan berikanlah sepenuh tumpuan kepada pembelajaran dan membina skil kehidupan untuk mendepani cabaran kerjaya yang semakin sukar dan berdaya saing.
Young Syefura
Ahli Parlimen Bentong