Zahid Hamidi, Cengkadak Buruk dan Pol Pot – Oleh Aliff Fikri

‘CENGKADAK Buruk’ adalah satu perkataan yang disebut dengan penuh bergaya dan angkuh sekali oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Melaka, Sabtu lalu untuk menyerang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy kerana mengkritik pasukan polis susulan insiden tembakan lima suspek penjenayah di Pulau Pinang, baru-baru ini.

zahid‘Cengkadak Buruk’ ini ternyata amat menarik perhatian dan mengganggu hidup saya sekitar dua, tiga hari ini, kerana pada saya ia adalah perkataan yang cukup ‘rare’ dan ‘cult’ untuk diguna malah diungkap dalam perbualan seharian atau pada acara keraian.

Oleh kerana keseksian serta kelunakan bunyinya, saya memaksa diri dengan bersungguh-sungguh mencari makna perkataan itu di Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) walaupun amat menggelikan untuk berhubung dengan satu entiti bernama DBP.

Keberahian saya untuk mengejar makna perkataan ini berpusat pada rasa ghairah mungkin lahirnya satu lagi laungan seperti ‘sapere aude’ yang berlaku pada akhir abad ke-17 dan 18 iaitu petanda bermulanya zaman Enlightment di Eropah. Apakah ia akan membawa reformasi pemikiran dan intelektualiti? Menghapus dogma, taklid dan hegemoni lapuk?

Saya juga tertanya-tanya apakah ‘cengkadak’ ini serumit persoalan mengapa King Kong memanjat World Trade Center (WTC) demi cinta tidak masuk akalnya pada seorang wanita? Atau serumit mengapa pagar menjadi elemen seni bina yang begitu penting untuk warga Asia? Walhal pagar ini adalah cerminan masyarakat paranoid.

Demikian selepas beberapa minit proses carian, akhirnya saya menjumpai makna atau maksud ‘cengkadak’ ini yang dipecahkan kepada tiga takrif dalam tiga kamus.

cengkadak lagiDalam Kamus Pelajar, ‘cengkadak’ ditakrifkan maksudnya sebagai nama sejenis serangga yang berkaki panjang; mentadak atau secara saintifiknya disebut Mantis Religiosa. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ia bermaksud sejenis serangga seperti belalang hijau warnanya dan panjang kakinya, sentadu, mentadak, ketenun. Manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua pula memberikan takrifan sama seperti yang tertera dalam Kamus Pelajar.

Kita berbalik pula pada ‘buruk’, DBP tidak mempunyai maklumat tesaurus untuk kata ‘buruk’. Tolak ketepi apa itu ‘buruk’ mengikut DBP, secara logiknya ‘buruk’ itu menjurus ke arah negatif, semua orang mengetahuinya.

Jadi bila digabungkan kedua-duanya perkataan itu ‘cengkadak’ dan ‘buruk’, maka ia secara literal dengan mengambil takrif daripada Kamus Dewan Edisi Keempat adalah sejenis serangga seperti belalang hijau dan panjang kakinya, sentadu, mentadak atau ketenun yang buruk. Aneh dan unik.

Jika kupu-kupu dan rama-rama masuk ke rumah, kita sering didongengkan dengan orang jauh akan datang, tapi jika mentadak masuk? Tidaklah pula diketahui. Mentadak atau cengkadak ini khabarnya hanya memiliki satu telinga, ia sekaligus bermaksud mendengar atau menerima pandangan hanya dengan satu hala.

Kembali pada tindakan Zahid mengcengkadak burukkan Waythamoorthy, ia sangat kontradik, kerana Zahid sepatutnya memegang gelaran satu hala itu dengan beberapa hal yang dilakukannya kebelakangan ini.

Tidak cukup dengan menghalal dan menggalakkan pembunuhan apabila menyatakan bahawa menembak suspek penjenayah sebagai langkah terbaik, secara tidak langsung memberikan kuasa penuh (kebebasan) kepada polis untuk melakukan apa saja, Zahid juga sebelum ini meluluskan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA), menyokong kehilangan senjata polis, menyifatkan kumpulan kongsi gelap Tiga Line sebagai rakannya, mengugut wartawan, tidak melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana kononnya bercanggah serta tersasar daripada perlembagaan dan pelbagai lagi amalan satu hala yang dilakukannya.

Sikap serampang dua mata dan tidak makan saman Zahid itu tidak semena-mena mengingatkan saya kembali pada tokoh cengkadak buruk nombor wahid iaitu saudara Salot Sar atau dikenali oleh dunia dengan nama Pol Pot. Pol Pot satu nama yang cukup sinonim dengan sejarah kelam Kemboja dan sehingga kini sosok kekejamannya masih tidak terhapus daripada ingatan rakyat di sana.

pol potApakah persamaan antara Zahid dan Pol Pot? Zahid masih belum mencapai tahap kekejaman Pol Pot, namun ada persamaan daripada segi perilaku iaitu ‘tidak ada kompromi’.

Atas kebencian kepada pemerintahan Lon Nol, Pol Pot mula mengembleng orang untuk melakukan satu perubahan drastik atau pembangunan menyeluruh Kemboja daripada titik awal, maka pada 17 April 1975, selepas menjatuhkan Lon Nol, beliau memproklamasikan negara baru dengan semangat ‘Year Zero’. Beliau turut menyebut tarikh itu sebagai Hari Pembebasan (Liberation Day) daripada taklukan Lon Nol yang teruk, korup dan dicemari rasuah. Ini telah membawa satu harapan baru kepada warga Kemboja untuk berkembang serta berjalan sebagai sebuah negara melalui cara sepatutnya.

Namun, pembebasan yang dijanjikan Pol Pot akhirnya bertukar daripada cahaya kepada awal kegelapan. Ketaksuban beliau kepada apa yang digelar sebagai perubahan melalui ideologi komunisme ekstrem membawa kepada pembunuhan massa besar-besaran terutama kepada penentang daripada  kalangan rakyat biasa, cendekiawan, intelektual, doktor, tokoh ilmuwan dan golongan profesional yang menyanggah atau meragui keinginannya.

Tanpa memandang bulu, puluhan ribu rakyat yang diketahui memiliki idea dan pandangan politik berbeza ditangkap dan ditahan. Lebih daripada itu, sesiapa saja yang berpenampilan seakan-akan intelektual seperti boleh berbahasa asing, berkaca mata, memperoleh mata pencarian bukan sebagai buruh dan kerja kasar lain semuanya diheret untuk dihapuskan terus daripada muka bumi di Ladang pembantaian Choeung Ek dan pusat penyiksaan Tuol Sleng.

Jadi apa yang diungkapkan Zahid kebelakangan ini saya kira tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkemungkinan merupakan satu simbol harapan yang akan bertukar kepada titik awal sejarah kelam negara. Atas nama transformasi dan meremajakan UMNO, berjuta harapan ditabur dan dijanjikan, kerakusan politik melampau ini boleh membawa kepada kehancuran. Mungkin tidak berupa pembunuhan fizikal, tapi pembunuhan minda, permulaannya sudah kelihatan.

Walau apa pun, pengakhirannya masih belum jelas, dongeng cengkadak buruk ini masih belum mencapai taraf kucing hitam lalu depan rumah. Untuk itu, cukuplah sekadar kita merenung satu paradoks yang diajukan tokoh falsafah dan novelis Russia, Fyodor Dostoyevsky dalam bukunya ‘Notes from Underground’ bahawa:  “adakah manusia berani melakukan perkara berbahaya dan bodoh yang bakal menjejaskan keselamatan mereka sendiri, demi membuktikan bahawa mereka memiliki kebebasan mutlak untuk bertindak semahunya?”. -Roketkini.com

Recommended Posts