Menjelang hari raya ketiga, suasana di kampung menjadi bertambah sibuk, warung-warung makan sudah kembali di buka walau pun tidak semua. Itu kami di Johor, di tempat lain tak tahu pula.
Kelihatan beberapa kumpulan manusia yang sedang beraya datang singgah di warung, barangkali mereka sudah muak dengan rendang, ketupat dan lauk-pauk hari raya di rumah. Maka warung makanlah tempat paling sesuai untuk memecah selera hari raya.
Warung tidak banyak yang dibuka, satu kedai akan menerima kunjungan pelanggan dengan jumlah yang luar biasa sekali. Kebanyakannya memesan minuman khususnya teh tarik. Ini petanda kebanyakan kita sudah ketagih dengan teh tarik.
Selama sebulan berpuasa, siang hari tidak ‘pekena’ teh, maka sebaik lepas raya pertama kumpulan ini akan terus mencari bahan ketagihannya, kata orang ‘balas dendam’. Tidak terkecuali aku.
Dengan tempoh menunggu teh tarik yang begitu lama, aku bersama Leman, Herman dan Paksu Ai terus sabar menanti minuman sampai. Kelam-kabut pekerja-pekerja warung melayan pelanggan yang cukup ramai. Dalam sabar menunggu aku, sepupu-sepapat dan Paksu Ai berborak panjang. Asap rokok daun Paksu Ai naik berkepul-kepul.
Nostalgia
Gebang kami lebih kepada cerita-cerita lama, kisah arwah nenek pergi haji, kisah arwah Tok Wak mata buta. Semua ini mengundang nostalgia yang sangat mengharukan hati. Diselang-seli dengan jenaka Paksu Ai tentang perangai kami semasa kecil.
Diceritakannya bagaimana Herman berlari telanjang bulat setelah dijerkah Tok Wak kerana ponteng mengaji dengan meloloskan diri mandi di sungai. Leman pula semasa kecil sering dibuli oleh kakak-kakaknya hingga lubang hidungnya disumbat dengan biji kacang tanah dan kisah aku yang pandai memanjat pokok tapi tidak tahu turun, hingga memaksa Tok Wak memanjat untuk menurunkan aku ke tanah.
Walau pun inilah topik setiap kali berjumpa dengan Paksu Ai, tetapi setiap kali itu juga, bahan ini tetap menarik diulang-ulang. Barangkali inilah saja memori indah Paksu Ai bersama kami.
Paksu Ai hanyalah seorang pekerja am di sekolah rendah tempat Herman belajar. Dia sudah bersara hampir 10 tahun lepas, membujang hingga kini, dua kali putus tunang hingga arwah nenek memaksanya mandi bunga di tujuh buah kolah masjid untuk buang sial, itu kata yang kami tahu menerusi arwah mak. Entah ya entah tak.
Tapi Paksu Ai tetap sihat dan segak, abang-abangnya seperti Pak Anjang dan Pak Andak suka sekali menggelarnya bujang terlajak. Jika aku, Leman dan Herman berkumpul dengan Paksu Ai, dia akan tersipu-sipu bila bercakap tentang cerita-cerita ubat kuat dan seks. Itulah modal kami mengusiknya.
“ Paksu Ai tak boleh dengar, ni cerita orang dah kahwin, dah baligh ” begitulah Herman akan mengusik Paksu Ai.
Kadangkala Leman membela “ Tak apa Paksu, orang dah kahwin ni banyak bebannya, jangan jadi macam Herman, satu tak sempurna lagi ada hati nak buka cawangan baru, duit tak cukup pandai nak berbelanja lebih”.
Paksu Ai akan ketawa terkekeh-kekeh bila kami menyindir Herman.
Cikgu Abu
Borak kami semakin rancak bila teh tarik yang dipesan telah tiba. Aku mencuri sebalut rokok daun Paksu Ai, kami semua meneguk teh tarik dan menghembus asap rokok dengan sepuas-puasnya, rasa hidup ini telah bebas dan nikmat sungguh!
“ Kok ye pun bacalah Bismillah dulu kau orang ni.”
Terdengar suara dari belakang meja kami.
Kami semua menoleh, rupa-rupanya Cikgu Abu datang. Dia menarik kerusi sebelah dan duduk semeja bersama kami.
“Bukan, cikgu. Ni dah berjanggut menunggu, dia sampai kita serang terus la,” kata Paksu Ai merujuk serangan kepada teh tarik sambil ketawa.
Cikgu Abu adalah bapa saudara kepada aku, Leman dan Herman juga, bukan orang lain. Cuma dia adalah saudara angkat yang berpangkat adik paling bongsu selain Paksu Ai (adik kandung bongsu), Pak Anjang dan Pak Andak. Cikgu Abu masih mengajar sekolah rendah agama di Johor. Tapi sudah hampir 50 tahun umurnya.
Cikgu Abu memang nama panggilannya sejak dia mengajar 15 tahun dulu. Dia tidak suka dipanggil ustaz, maka dari adik-beradik angkatnya hinggalah kami anak-anak buah memanggilnya Cikgu.
Dia sudah berkahwin, punya 7 orang anak yang mana anak sulungnya yang berumur 24 tahun, gadis manis yang solehah yang menjadi kegilaan aku dan Herman sejak dulu, kini dan selamanya.
Sudah seperti biasa, apabila Cikgu Abu ada bersama kami, kerancakan labun kami akan menjadi perlahan. Kami segan dengannya apatah lagi dia tahu aku dan Herman pernah kantoi bagi surat cinta padah anaknya. Tebal sungguh muka aku, lebih-lebih lagi Herman yang memang dikenali sebagai anak jantan yang nakal.
“ Asi bila nak datang beraya rumah Cikgu? ” tiba-tiba cikgu Abu bersuara.
“ Insyallah cikgu, tunggu Herman free ni ” aku menjawab sambil mengambil peluang nak mengenakan Herman.
Herman tunduk tersipu-sipu. Macam kucing lapar tengok ikan goreng.
Mat Sabu dan Mat Indera
“ Aku tak faham la Mat Sabu ni, betul ke dia kata Mat Indera tu pejuang kemerdekaan? ” Tiba-tiba pula Cikgu Abu membuka soalan. Suasana yang penuh jenaka hening sebentar.
Soalan itu seakan menjadi perangkap di hadapan kami, sesiapa yang menjawabnya dahulu, maka bersiaplah untuk berhujah dengan Cikgu Abu.
Kali ini isunya tentang Mat Sabu, nama panggilan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dalam satu ceramahnya dalam bulan puasa telah mengatakan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar, dan bukan polis Melayu yang bersekongkol dengan penjajah British.
Isu itu menjadi mainan media massa apabila Mat Sabu dikatakan menghina polis kerana mendakwa Mat Indera adalah komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, lama sebelum Merdeka.
Di kalangan kami sepupu-sepapat yang muda ini, sudah biasa dengan cara Cikgu Abu, kami letih hendak berdebat dengannya, termasuklah Pak Anjang kerana perdebatan apa pun akhirnya akan menjadi medan ceramah Cikgu Abu.
Surah panjang lebar dan di hujung surah itu akan ada nasihat yang tajam buat kami supaya berubah menjadi itu dan ini.
Kami yang berperangai setan-setan ini akan cepat menguap dengan ceramahnya. Tetapi kami tetap menghormati Cikgu Abu kerana nasihatnya itu memang baik. Cuma kami lebih seronok berdebat sambil mengusik dari mendengar ceramahnya.
Selain itu, kami sepupu-sepupu menghormatinya kerana beliau seorang gigih, berani dan bersemangat waja. Dia dari muda sudah terjebak dengan dadah, perangainya lebih setan dari kami suatu waktu dulu, kata pakcik-pakcik kami.
Arwah Tok Wak mengambilnya menjadi anak angkat dan memulihkan ketagihan dadah dan menghantarnya kesekolah agama hinggalah tamat belajar kolej, kahwin dan menjadi guru agama.
“ Entah, Asi kata tu putar belit Utusan Malaysia,” Paksu Ai menghantar bola tanggung kepada aku. Aku serba-salah nak menyambutnya.
“ Itu aku tahu memang kerja Utusan, tapi masakan tak ada angin pokok nak bergoyang, ” jawab Cikgu Abu sambil memandang muka aku.
“ Ini mesti Mat Sabu sengaja nak cari populariti dia tengah-tengah raya ni,” tambah Cikgu Abu.
“Mat Indera tu guru sekolah agama juga, dia dapat tauliah dari Sultan Johor masa tu,” aku memangkah topik Cikgu Abu.
Tersentak sedikit Cikgu Abu, terasa diri disindir barangkali. Aku, Leman dan Herman tersengih-sengih saja.
Komunis
“Kalau Mat Sabu nak kata Mat Indera tu hero Melayu, hero lawan penjajah, dia patut faham komunis itu apa,” sanggah Cikgu Abu.
“ Komunis ada lagi ke cikgu?” tanya Paksu Ai.
“Entah, kau tanyalah Asi, aku dengar dia kerja dengan DAP, nanti kalau aku main sebut, takut salah cakap pulak,” jawab Cikgu Abu dengan penuh makna dan sindiran.
Kami ketawa. Kemudian suasana kembali senyap, seolah-olah menunggu aku menyambungnya.
Paksu Ai terus mengirup teh tarik dan yang lain mengetis habuk rokok di tangan masing-masing.
“Parti komunis memang masih ada, paling kuat ada di China. Tapi kalau nak cari orang yang berperangai komunis tak payah pergi sana, kat sini banyak,” jawab aku selamba.
“Orang UMNO ke maksud kau Asi?” tanya Paksu Ai. Herman menjeling aku dengan mengangkat kening mata tanda hendak menyanggah. Maklumlah, dia orang Pemuda UMNO.
“Alah Paksu, Mat Indera tu cuma tak ikut cara Tunku lawan Inggeris je. Kalau betul Mat Indera tu komunis, macam mana pulak dia dapat tauliah mengajar agama macam Cikgu Abu.
“Komunis yang betul-betul tu atheis, mana percaya agama, tak percaya tuhan,” Herman bersilat lidah nak mengelak dari sindiran aku sambil memandang Cikgu Abu. Nyata sekali perbualan kami sedang memprovokasi cikgu Abu.
“Tak kan Mat Sabu tu bodoh sangat cakap tak ada asas,” tambah Leman.
“Tapi, Mat Sabu tak kenalah nak kata polis-polis kita tu tali barut penjajah,” Cikgu Abu membela diri.
“Cikgu dah dengar ceramah Mat Sabu tu ke?” tanya aku.
“Tak pulak. Aku baca surat khabar saja,” jawab Cikgu Abu dengan muka serius.
Tiba-tiba ada orang mencelah.
“ Hah, sini kau orang. Aku ingat beraya ke mana tadi ” Pak Anjang datang menyergah. Hilang bicara kami tadi.
Pejuang dan pengkhianat
Kami meneruskan labun dengan Pak Anjang. Warung masih sibuk, semakin sesak dengan pelanggan. Kisah perjuangan menentang penjajah, zaman darurat dan politik semasa memang hangat walau pun suasana hari raya masih dirasai.
Amat ramai di kalangan kita khususnya di luar bandar, hanya mendapat berita dari cakap-cakap mulut dan akhbar arus perdana. Intinya masih jauh dari memahami perkara pokok.
Guru agama seperti Cikgu Abu yang berpengalaman ini pun masih gagal memahami konteks politik yang sedang berlaku. Bagaimana agaknya dengan rakyat biasa yang tidak bersekolah dan duduk jauh di pedalaman.
Walau bagaimana pun, masih ada sisi positifnya, rakyat tak kira umur dan masa, sudah semakin meningkat keprihatinannya terhadap pergolakan politik.
Mereka yang tidak faham, tidak harus dipersalahkan kerana mereka tiada akses maklumat yang mudah. Inilah dilema kita.
Ini di zaman ada internet. Bayangkanlah ketika zaman dahulu yang serba kekurangan apatah lagi tiada kemudahan internet, sudah pasti susuk seperti Mat Indera dan ramai lagi akan mudah dianggap sebagai pengkhianat bangsa kerana maklumat tentang tokoh-tokoh ini tidak diketahui umum.
Jauh sekali untuk memahami perjuangan dan mengapa mereka memilih perjuangan mengangkat senjata dalam menentang penjajahan Inggeris.
Hakikatnya, mereka bukan semata-mata menentang Inggeris tetapi mereka menentang penjajah, jika siapa pun yang menjajah termasuk Jepun atau regim komunis sekali pun, pasti akan mereka tentang habis-habisan.
Pak Anjang seorang bekas tentera menambah:
“Sepatutnya Mat Indera kalau nak berjuang lawan Inggeris kena lawan cara politik macam Tunku, jangan angkat senjata dan masuk hutan masuk kumpulan komunis. Ha! sekarang siapa yang salah? Dia tak buat macam Tunku, sekarang orang tuduh dia pejuang komunis, bukan pejuang kemerdekaan, kan ke rugi”.
Jelas, dari surah Pak Anjang memang Mat Indera berjuang menentang penjajahan. Barangkali, pada masa itu elit politik khususnya UMNO menolak untuk menentang dengan mengangkat senjata dengan mengambil sikap berdiplomasi. Itu sahaja yang membezakan perjuangan mereka. Tapi mengapa tokoh-tokoh seperti Mat Indera ini dilabel sebagai pengkhianat negara?
Beginilah bagaimana berlaku pertindihan dan perselisihan fakta. Namun, sebagai menghormati kepelbagaian pandangan dan bersikap terbuka, aku tidak menyanggah pendapat Pak Anjang. Lebih-lebih lagi kerana menghormatinya sebagai bapa saudara yang telah lama berkhidmat dan menumpah keringat dalam tentera.
Akhir sebuah impian
Sebelum menutup meja teh, cikgu Abu sempat memberitahu kami.
“Hujung bulan 11 ni kau orang jangan lupa datang kenduri cikgu ya, nak sambut menantu,” katanya.
Aku dan Herman berpandangan.
“ Ni nak mengahwinkan Saadah, dapat orang Tanjung Piai.”
Rupa-rupanya, gadis manis anak cikgu Abu yang kami tergila-gilakan dulu kini akan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang jejaka bertuah.
Aku dan Herman berjabat salam dan memeluk cikgu Abu sebagai tanda tahniah kerana akan menyambut menantu yang pertama.
“Ha, jangan putih mata ya, Asi, Herman,” Paksu Ai bagai sudah membaca perasaan aku dan Herman.
“Kalau Asi ke Herman ke masih bujang sekarang ni, boleh la interview dengan cikgu, kalau Asi lulus Herman kena keluar UMNO. Kalau Herman yang lulus, Asi kena kerja dengan UMNO, ” tambah Cikgu Abu yang begitu memahami perangai kami.
Ketawa kami semua pecah berderai. – Roketkini.com