CERPEN
Pekan Sungai Lambir semakin sesak menjelang tengahari. Kebanyakan kereta yang membajiri pekan koboi ini rata-ratanya berpendaftaran dari luar, khususnya berpangkal ‘W’ dan ‘B’. Nyata keluarga bandar sedang menyerang kampung sempena Idulfitri. Antaranya, aku sendiri.
Laman rumah arwah atok sudah penuh dengan kereta-kereta besar, ada di antaranya yang aku kenal, selebihnya aku tidak tahu. Bau rumput yang baru dipotong dan buah bacang cepat menyerang hidung sebaik aku keluar dari kereta.
Pertemuan dengan sanak-saudara lebih-lebih lagi dalam suasana sebegini masih lagi meriah. Pak Andak yang menjaga rumah pusaka atok, cukup maklum dengan perangai anak-anak buahnya.
“Bila sampai Si?” Pak Andak menegur ku.
“Dah dua hari. Pak Andak sihat? ”
“Selamat hari raya” aku menyambung sambil bersalaman.
“Biasalah, kalau tak sihat, mana lagi nak beraya macam ni,” Pak Andak yang berumur lebih dari 60 tahun masih gagah melayan anak-anak buah yang datang laksana tentera merah melanggar kota Beijing.
“Kau kerja mana sekarang Asi?” Sepupu aku Herman bertanya sambil mengupas buah bacang di tangannya.
Aku dapati soalan begini sudah menjadi kelaziman, ia bagaikan soalan ‘template’ kepada sepupu-sepapat yang lama tidak berjumpa. Antara soalan lazim termasuklah ‘dah berapa orang anak’, ‘duduk mana sekarang’ atau bagi yang bujang sudah pasti ‘bila nak kahwin’.
Namun, ia tetap meriah dengan pelbagai kisah perbualan.
Sedang rancak berborak, tiba-tiba geng pakcik-pakcik mengambil tempat dalam geng anak buah iaitu sepupu-sepapat kami.
Marah kerajaan
“Apa nak jadi ni, engkau orang yang duduk di bandar tak habis-habis nak berhimpun ke tengah jalan raya, tak habis-habis nak marah kerajaan,” Pak Anjang begitu selamba menghentikan bicara kami semua.
“Kau orang ni kenang la sikit jasa kerajaan, kalau kita tak merdeka, engkau orang tak akan habis belajar macam sekarang.
“Ni, tengok, motokar menjalar, kalau tak kerana kita orang tua-tua yang sama-sama dengan kerajaan, tak merasa kau orang senang macam sekarang.”
Nada Pak Anjang memang begitu, ayatnya agak kasar, tapi niat dan nada pertuturannya tetap lembut dan baik.
Pak Anjang seorang bekas tentera berpangkat Sarjan, sudah hampir 20 tahun dia bersara. Kini dia mengusahakan kedai runcit dan menjual sayur-sayur kampung di pekan Sungai Lambir.
“Jangan la cakap macam tu Pak Anjang, kita orang tak turun pun Bersih hari tu. Asi dengan Leman je yang turun,” Herman menyambut provokasi Pak Anjang dengan nasi tambah yang baru.
Aku ketawa saja, Sulaiman sepupu aku, anak Pak Andak, menjuihkan bibir pada Herman.
“Kau turun berhimpun ke Leman? Bila masanya kau pergi? Kau baik-baik sikit, Man,” Pak Andak mula menyiasat anaknya.
Kami geng sepupu pecah ketawa. Hingar-bingar.
“Pak Anjang jangan la risau, kita orang turun sebab nak sokong perhimpunan tu, mana ada lawan kerajaan,” aku mencelah sambil cuba mengalih soalan yang ditujukan untuk Sulaiman itu.
“Hah, kau kerja mana sekarang Asi? Aku dengar kau kerja dengan pembangkang,” Pak Anjang menyoal aku semula.
“Dia kerja dengan DAP, Pak Jang!” tiba-tiba Herman menyampuk.
Carma
“Ah! Sudahlah kau Man. Habis tu, yang kau kerja dengan UMNO, boleh pulak,” kali ini Sulaiman bersuara macam membela aku pula.
“Aku lain. Aku kerja carma la, bro,” Herman pantas mengelak sambil tersengih.
“Kalau Man cari makan, Asi pun kerja cari makan,” Kali ini Pak Andak pun bersuara seperti membela aku juga.
Suasana perbualan cucuk-mencucuk ini tidaklah tegang, sebaliknya sangat meriah dengan lawak dan sindiran terus. Bagi orang luar, pasti menganggap keadaan ini menunggu masa untuk meletup.
Sulaiman, anak Pak Andak, adalah anak muda yang cukup lasak. Kalau Pak Andak tak turun ke kebun, dialah yang akan mengambil alih. Si Leman ini ahli PAS di kampung. Memang dia sangat rajin, kirimkan saja dia ke mana ceruk kampung pun untuk berkempen, dia tak ada masalah.
“Betul ke kau kerja dengan DAP tu, Asi?” Pak Anjang ulang, kali ini nadanya sangat ingin tahu.
“Ya,” dengan muka yang separuh tersenyum, sepatah saja aku jawab. Jawapan aku itu mengheningkan sebentar suasana.
“Ha! Kan dah betul, Pak Anjang. Asi ni kerja tolong Cina. Ni nak jadi ejen komunis la ni,” wah, kali ini Herman betul-betul bahasakan aku.
“Kau jangan bising la Man,” sindir Pak Andak.
Belum sempat aku menjawab, Pak Anjang bertanya lagi, “Kenapa kau kerja dengan Cina DAP?”
“Apa salahnya. Pemimpin dia orang yang saya kenal semuanya ada prinsip. Tegas. Lagi pun tak ramai Melayu nak kerja dengan dia, saya kerja la Pak Anjang,” jawab aku tenang.
Hening sekali lagi suasana.
“Habis tu, kau kerja untuk apa dengan dia orang? Nak ajak Melayu masuk DAP?” Tanya Pak Anjang lagi.
“Alah, Herman kerja dengan UMNO pun bukan bertambah ahli Melayu kerana dia,” aku menjawab.
“ Wei, aku kerja dengan UMNO sebab dia boleh bayar V6 aku, hehe,” Herman menjawab ketawa dan selamba, bangga dengan kereta Proton Perdananya.
Herman ini walau pun lawaknya kasar dan kadangkala bahasanya juga lebih kasar dari Pak Anjang, masih ada sisi lurus bendulnya dia ini.
Dia boleh saja mengutuk orang yang tidak sealiran dengan faham politiknya, tetapi dalam masa yang sama dia tak pernah berselindung tentang niat dan cita-citanya bekerja dengan UMNO.
Ini yang menjadi lawak pada kami walau pun lebong politik kami agak panas. Masih boleh berjenaka dan ketawa.
Jangan malas, jangan makan rasuah
“ Kalau kau kerja dengan DAP tu, pandai-pandailah bawa diri. Jangan sampai orang Cina tengok kau macam Melayu yang pemalas. Kita ni bukan keturunan pemalas, jadi kau kerja betul-betul” Tiba-tiba Pak Anjang bernada neutral.
“ Janji kau jangan makan rasuah,” Pak Andak menambah.
Aku cuma menjeling Herman. Dia pura-pura buat tak Nampak.
“ Wah, Pak Andak, Pak Anjang ni, nasihat makan dalam la, tembak tak kira tempat, ” Herman cuba menghidupkan kembali perbualan.
“Yang kau terasa pulak pasal apa? Kau pemalas ke? Makan rasuah?” kini giliran Leman membahasakan Herman.
Kami pecah ketawa lagi. Hiruk-pikuk.
Keluarga kami, memang pelbagai warnanya dan bermacam-macam usikannya, tetapi pertalian keluarga masih tetap kukuh.
Kini, Idulfitri bukan lagi medan buat kami bermain mercun dan meriam. Itu untuk anak-anak kami. Hanya khabar dan pertemuan antara suku-sakat keluarga yang menjadi kemeriahan.
Zaman sudah berubah, begitu juga dengan generasi ayah-ayah kami. Jangan sangka mereka masih totok dengan fahaman lamanya.
Sebaliknya, walau mereka sedar mereka tidak mampu mengubah keadaan, nasihat mereka cukup lunak dalam memberi kita nasihat dan semangat.
Sekurang-kurangnya, ziarah Idulfitri dan gebang politik keluarga kami akan terus menjadi bahan yang mengeratkan lagi silaturrahim. – Roketkini.com