DAP Menjunjung Titah Agong Perkukuhkan Kestabilan Negara

0b1240d4 1ef6 4427 aab8 13913745d4e6

KUALA LUMPUR – DAP menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melakukan yang terbaik serta memperkukuh kestabilan politik bagi mewujudkan Malaysia MADANI yang harmoni, bersatu, makmur dan sejahtera.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming (YB KM) merangkap Ketua whip Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata bahawa 40 orang Ahli Parlimen dari parti tersebut menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Justeru itu, YB KM turut menyeru semua 222 orang Ahli Parlimen supaya menjunjung titah Sultan Ibrahim itu dengan beriltizam menunjukkan teladan yang baik.

“Selain menjaga martabat dan darjat Parlimen, Ahli Parlimen harus bersikap professional untuk mengekalkan kestabilan politik negara supaya kerajaan boleh menumpukan segala perhatian dan usaha kepada pentadbiran serta pelaksanaan dasar bagi mempergiatkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.”

“Seperti titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara, jika ada pihak yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” tegasnya.

YB KM berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menghadiri Istiadat Pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Tambah YB KM, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan jelas menegaskan Baginda tidak akan melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Titah Baginda menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap masa depan negara dan keazaman Baginda untuk memelihara instituisi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang merupakan sistem pemerintahan negara kita,” katanya.

YB KM turut bekata, “titah Baginda akan memperkukuh kestabilan negara dalam tempoh empat tahun yang akan datang dan ini akan membantu usaha kerajaan untuk memulihkan keyakinan pelaburan tempatan dan luar negara sekali gus membawa ekonomi negara ke landasan yang dituju”.

Tambah beliau, “Malaysia kini telah naik lima tangga kepada kedudukan ke-27 dalam ekonomi paling kompetitif di dunia, kedudukan negara akan mencapai kedudukan yang lebih tinggi pada masa depan jika kestabilan politik dapat dikekalkan untuk satu tempoh yang lebih lama,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan.

Tarikh 26hb Februari, 2024

Recommended Posts