
Dalam politik Malaysia, layanan berat sebelah terhadap negeri pembangkang bukan perkara baru. Selama bertahun-tahun, wujud tanggapan bahawa hanya negeri penyokong kerajaan akan merasa limpahan projek pembangunan. Namun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memilih untuk menoktahkan tanggapan ini dan meneruskan pendekatan inklusif dan profesional.
Baru-baru ini, beliau turun padang ke Kedah dan Perlis, dua negeri di bawah pembangkang. Beliau turun bukan untuk berkempen, tetapi untuk merasmikan perkhidmatan pengangkutan awam moden BAS.MY di Kota Setar dan Kangar. Anthony Loke menjelaskan:
“Kita akan pastikan setiap ibu negeri di ke semua 13 buah negeri ada sistem bas berhenti-henti yang moden dan efisien. Di Lembah Klang dan juga di Pulau Pinang kita ada Rapid KL dan Rapid Penang. Di negeri-negeri lain kita perkenalkan bas.my ini. Ini merupakan satu flagship projek di bawah Kementerian Pengangkutan.”
Pendekatan ini bukan sahaja menyamaratakan akses kepada pengangkutan awam, malah memberi mesej jelas bahawa pembangunan tidak boleh diukur dengan warna parti.
Perkhidmatan BAS.MY ini tampil dengan pakej yang amat mesra rakyat. Inisiatif pas percuma untuk pelajar sekolah, mahasiswa, OKU dan warga emas, manakala golongan dewasa hanya perlu membayar RM50 sebulan untuk pas bulanan tanpa had. Menurut Anthony:
“Dengan adanya pas konsesi mereka tak perlu membayar apa-apa tambahan. Setiap hari boleh pakai secara percuma sahaja… Dari Sungai Petani nak datang Alor Setar berulang-alik boleh menggunakan pas 30 hari itu tanpa had dengan hanya bayaran RM50 sebulan.”
Ini bukan sekadar naik taraf sistem pengangkutan, tetapi satu strategi jangka panjang untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat dan mempromosi budaya menggunakan pengangkutan awam, walau di negeri pembangkang sekalipun.
Setakat ini, BAS.MY telah diperkenalkan di Seremban, Ipoh, Melaka, Kuala Terengganu, Kota Bharu, dan Kuching. Dan bakal menyusul pula di Kuantan dan Kota Kinabalu. Pendek kata, tiada negeri tertinggal.
Inisiatif seperti ini menjadi penanda aras kepada bagaimana sebuah kerajaan yang matang dan berprinsip harus bertindak. Tidak memilih kasih, tidak berdendam politik, hanya fokus kepada keperluan rakyat. Dan buat yang masih mempersoalkan keikhlasan Kerajaan Madani, mungkin sudah tiba masanya anda naik bas dan lihat sendiri siapa sebenarnya yang ‘buat kerja’.