Ia mungkin menjadi sebuah trilogi yang mempunyai judul-judul paling cantik bagi mana-mana penerbitan buku dalam bahasa Melayu yang pernah dihasilkan; Meniti Lautan Gelora, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah dan pelengkapnya, Menggenggam Segumpal Harapan. Tetapi, buku yang ketiga itu tidak akan muncul, sekurang-kurangnya tidak seperti yang sebagaimana asalnya diharapkan oleh Said Zahari sendiri.
Pada penghujung 2006, sepulangnya Said Zahari dari Port Dickson selepas lima hari bercuti bersama anak cucu, rumah mereka di Subang dipecah masuk. Pintu utama rumah tidak berkunci, sedangkan sebelum meninggalkan rumah tempoh hari, semuanya ditutup rapi. Tetapi, aneh juga, tak ada kehilangan yang dikesan di dalam rumah. Tidak ada apa yang memusykilkan awalnya; mereka naik ke atas – pintu bilik bacaannya dipecah masuk.
Masih tak ada apa yang hilang, yang dapat dikenal pasti. Sehinggalah Said Zahari menyedari, sebuah laptop yang menjadi “pejabatnya” sepanjang beberapa tahun sebelum itu sudah tidak lagi berada di tempatnya di atas meja tulis. Di dalam itu antara lain yang tersimpan adalah sekitar 30 peratus draf manuskrip buku ketiga yang sedang dikerjakan, dikenali dengan judul Menggenggam Segumpal Harapan.
Menurut Dr. Syed Husin Ali ketika di majlis pelancaran buku ketiga dari siri memoir berkenaan, agak sukar untuk mempercayai bahawa penyamun yang memecah masuk rumah seseorang, jika memang dengan niat untuk mencuri, hanya melarikan sebuah laptop sedangkan barangan berharga lainnya tidak disentuh. “Kita boleh meneka, besar kemungkinan ia dilakukan oleh orang yang berminat untuk tahu lebih lanjut apa yang ditulis oleh Said,” ujarnya.
Berdasarkan dua jilid memoir yang awal, Said Zahari banyak menulis tentang hal-hal seputar politik Malaysia-Singapura, sejarah peribadi versi dirinya yang secara tidak langsung menjadi satu sisi sejarah dua negara yang belum dituliskan – atau mungkin, tak ingin dituliskan oleh sesetengah pihak.
Di atas sebab itu, jilid ketiga memoirnya yang baru diterbitkan dengan judul Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari dan bukannya judul asal seperti yang dihajatkan sejak awal. Sebahagiannya terdiri daripada serpihan manuskrip tulisannya ketika beliau menjadi karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk kali kedua pada 2009. Ia juga dijadualkan untuk diterbitkan oleh institusi berkenaan.
Sebahagian lagi kandungan yang difikir baik untuk dijadikan pelengkap bagi jilid penutup ini adalah daripada tulisan teman-teman beliau, kumpulan siri wawancara yang pernah diberikan kepada media serta tulisan-tulisan eceran lain yang disumbangkan atau dipetik, yang menyentuh tentang perjalanan hidup Said Zahari.
Di usia 87 pada 2015, dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, versi ini disifatkan oleh Said sendiri sebagai satu cara terbaik untuk mencapai matlamat asal tentang trilogi berkenaan dan melengkapi dua jilid awal yang sudah diterbitkanpada 2001 dan 2006 itu. Akibat angin ahmar yang singgah ditubuhnya dua kali sejak 1993, bahagian kanan tubuhnya kini sangat lemah, kalau pun tidak lumpuh sepenuhnya. Keadaan ini tambah menyukarkannya untuk kembali menaip semula. Tetapi, semangatnya tak pernah luntur; beliau meminta teman-teman terdekat untuk membantu. Diselenggara oleh Abdul Rahman Embong, judul ini juga diterbitkan dengan usaha sama oleh Pusat Sejarah Rakyat (yang dipengerusikan oleh Dr Syed Husin Ali) dan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Di dalam jilid ketiga ini, Said menyentuh kebanyakannya tentang teman-teman dan perihal keluarganya, serta catatan kehidupan lainnya dalam bentuk yang lebih pendek dan ringkas, dengan tenaga tulisan yang lebih sederhana, tidak seperti dua jilid yang awal. Dan keadaan ini cukup difahami; disebabkan oleh keadaan kesihatan yang selalu mengganggu ketika dalam proses menulis penutup kepada kisahnya di dalam buku ketiga ini.
Pecahan enam bahagian mengisi buku terbaru ini, dengan sebahagian besarnya berupa penghargaan dan keraian terhadap Said oleh insan-insan yang berada dekat dengannya, atau yang terkesan dengan pengorbanan dan kesungguhannya untuk meraih kebebasan dan melawan penindasan di hadapan kekuasaan. – Roketkini
* Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari dilancarkan di Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2015. Ia disunting oleh Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong.