Oleh Shahrul Shahabudin
(Naib Setiausaha DAP Kubu)
Sewaktu Debat Kebudayaan 1968 masih lagi hangat, teringat kata-kata Syed Naquib Al-Attas kepada saudara Lim Kit Siang yang menyifatkan cabaran yang dikemukan oleh saudara Lim Kit Siang disifatkan oleh Syed Naquib Al-Attas sebagai tidak berasas kerana bagi beliau saudara Lim Kit Siang tiada latar pendidikan yang setanding dengan beliau. Lebih kurang begitulah kata-kata Syed Naquib Al-Attas.
Selepas 40 tahun Debat Kebudayaan 1968, pada sekitar penghujung tahun 2018 telah diadakan sebuah forum 50 Tahun Debat Kebudayaan 1968: Mahu Ke Mana Malaysia? Pada forum yang dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini turut diserikan dengan kehadiran saudara Lim Kit Siang dan juga seorang Timbalan Menteri kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini. Timbalan Menteri pada waktu itu hanya seorang pegawai kepada Menteri, begitu tegas menyokong idea yang pernah dilontarkan Syed Naquib Al-Attas apabila diberikan peluang untuk berucap. Namun tidak pula saudara Lim Kit Siang sedikitpun memperlekehkan orang muda tersebut walaupun dirinya jauh lebih berpengalaman dalam arena politik tanah air.
Gerangan yang disurahkan ini merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan kerajaan Perikatan Nasional iaitu YB Senator Wan Ahmad Fayhsal. Nama yang cukup sinonim dengan jargon yang berlebihan dan cakap tak serupa bikin.
Pada hari Ahad yang lepas, YB Timbalan Menteri ini menggemparkan kita semua dengan video yang tular menyaksikan beliau dengan angkuhnya menunjukkan ‘kekuasaaan’ beliau sebagai Timbalan Menteri bagi memberikan surat sokongan kepada rakan-rakan Armadanya. Jelas, ini merupakan salah satu ‘usaha’ beliau bagi memancing undi supaya para pimpinan Armanada akan memilih beliau sebagai Ketua Armada pada Pemilihan Agung Bersatu pada tahun ini. Tindakan tegas perlu diambil oleh SPRM bagi menyiasat Wan Ahmad Fayhsal kerana ternyata beliau sudah menyalahgunakan amanah yang diberikan kepadanya bagi tujuan politiknya sahaja.
Tindak-tanduk beliau jelas mencerminkan kelemahan dan kekurangan yang ada pada kerajaan Perikatan Nasional. Tidak ada sebarang idea yang segar disebabkan oleh kabinet yang kembung dipenuhi dengan idea-idea pentadbiran purbakala dan hanya mampu menawarkan jawatan bagi membeli Ahli Parlimen. Walaupun Timbalan Menteri ini bukan salah seorang ahli kabinet seperti yang pernah diperakui beliau tempoh hari, tindak-tanduknya jelas memperakui beberapa bait-bait lirik lagu Oasis-Half the World Away iaitu “my body feels young but my mind is very old”. Bait lirik tersebut ternyata memberikan gambaran yang tepat buat Wan Ahmad Fahysal yang masih lagi muda namun sudah sebati pula dengan amalan politik lama yang tidak bersih dan ternyata tidak membangunkan golongan muda.
Nama saja orang muda namun apabila berpolitik, diterjemahkan gaya politik lama yang sudah sekian lama merosakkan arena politik negara, itulah dia Wan Ahmad Fahysal. Jika hendak dibandingkan dengan dengan regu Kementerian Belia dan Sukan sewaktu tempoh pemerintahan Pakatan harapan iaitu SS2, Syed Saddiq dan Steven Sim mereka jelas memancarkan idealisme orang muda. Tender terbuka, perlaksanaan program-program belia dan sukan seperti Hari Sukan Negara yang bukan sahaja mendatangkan impak yang besar namun berjaya dijalankan dengan penjimatan yang banyak selain pemerkasaan belia melalui FeloPerdana, Malaysia Future Leaders School dan banyak lagi.
Inilah sebenarnya ahli-ahli politik muda yang kita perlukan dan bukannya apa yang ditawarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional melalui Wan Ahmad Fayhsal. Sudahlah masih lagi terkial-kial mentadbir Kementerian bersama-sama Menteri Belia dan Sukan yang tidak begitu popular dalam kalangan anak muda, namun lebih banyak menumpukan kepada usaha membeli undi dengan jawatan seperti “abah” dan rakan-rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Perkara ini jelas mencerminkan kemiskinan pemimpin muda dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional. Perkara ini jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan Pakatan Harapan yang jelas ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber dan penuh idealisme.
Parti seperti DAP begitu “mewah” dengan pemimpin-pemimpin muda yang berkualiti seperti Steven Sim (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Howard Lee (Ketua Kebangsaan DAPSY & Adun Pasir Pinji), Sheikh Omar Ali (Adun Paloh) & ramai lagi. Dengan menjadikan Howard Lee sebagai contoh, beliau sungguh efektif sebagai Adun dan juga Exco Belia dan Sukan Negeri Perak kerana berjaya menganjurkan SUKMA 2018 di Perak dengan gilang-gemilang selain turut menjadi perhatian musuh seperti mantan Perdana Menteri, Najib Razak.
Sesungguhnya, parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan seperti PKR dan Amanah juga begitu “mewah” dengan bakat-bakat kepimpinan muda seperti Nurul Izzah (Ahli Parlimen Permatang Pauh), Akmal Nasir (Ahli Parlimen Johor Bahru), Fahmi Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Faiz Fadzil (ADUN Permatang Pasir) dan ramai lagi. Perkara ini membuktikan betapa Pakatan Harapan sentiasa memberikan peluang kepada golongan muda untuk terlibat sama dalam politik dan tadbir urus negara.
Perkara ini bukan sahaja penting bagi memastikan persiapan bagi kepimpinan masa hadapan Malaysia tidak terganggu namun turut menjadikan orang muda sebagai pemimpin Malaysia pada hari ini juga kerana idealisme orang muda amat mustahak bagi membina landasan bagi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.
Sejajar dengan itu, tugas kita pemimpin muda dalam setiap parti berada pada sebuah persimpangan yang amat penting. Kita perlu bersama-sama memastikan pengundi-pengundi muda dapat bersama dengan kita bukan sahaja pada pilihan raya yang akan datang namun turut terlibat sama dalam urusan pentadbiran negara dan masyarakat. Hal ini demikian kerana, pandangan mereka begitu bernilai untuk memastikan kita semua tidak syok sendiri seperti Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang sekarang.
Memetik kata-kata Ooi Kee Beng, Pengarah Eksekutif Penang Institute pada pelancaran buku terbaharu saudara Liew Chin Tong, beliau menyebut tentang keperluan dan kepentingan bagi lapisan poilitik yang baharu dijelmakan dengan memberikan laluan kepada orang muda kerana hanya muda yang penuh dengan idealisme saja yang berani untuk melakukan perubahan. Usalah orang muda terikut-ikut dengan sikap Mat Jargon ini dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik. Masa kita! — Roketkini.com