
Tahun ini, Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaysia 2025, satu penghormatan besar, dan lebih penting, satu simbolik yang amat bermakna. Dalam semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai keadilan, keterangkuman dan kemanusiaan, keputusan kerajaan Persekutuan untuk menggilirkan lokasi sambutan Hari Malaysia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah langkah progresif yang mengiktiraf kekayaan budaya setiap wilayah.
Pulau Pinang bukan sekadar negeri yang maju dari segi ekonomi dan teknologi, ia juga adalah lambang perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum. Di sinilah, dalam suasana yang harmoni, kita boleh menyaksikan keunikan masyarakat Malaysia dalam bentuk paling tulen, dari warung Mee Udang di Sungai Dua, ke kedai kopi tradisional Cina di Lebuh Campbell, hinggalah ke restoran India di Queen Street.
Lebih membanggakan, negeri ini juga menjadi tapak kepada beberapa warisan dunia yang diiktiraf UNESCO, termasuk George Town yang terkenal dengan seni bina kolonial, budaya Peranakan, dan mural jalanan yang menggamit pelancong dari seluruh dunia. Maka tidak hairanlah jika sambutan Hari Malaysia tahun ini bakal menjadi antara yang paling bermakna, bukan sekadar sambutan biasa, tetapi perayaan terhadap identiti sebenar Malaysia yang majmuk dan bersatu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut menyambut baik pemilihan ini dan menyifatkan ia sebagai suatu penghormatan buat negeri itu. Katanya:
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dalam semangat Malaysia ini kerana Kabinet telah memutuskan untuk mengadakan sambutan Hari Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, tetapi juga bergilir-gilir antara negeri di Semenanjung. Kita mengalu-alukan dan berasa syukur Pulau Pinang dipilih… kita akan memberikan kerjasama yang penuh untuk menjayakan acara yang amat penting bagi negara ini.”
Kenyataan ini jelas menunjukkan iltizam kerajaan negeri untuk menjayakan sambutan yang bukan sahaja bersifat formal, tetapi menyemai semangat kebangsaan yang lebih mendalam. Bahkan, seperti yang dimaklumkan oleh beliau, 16 jawatankuasa kecil telah dibentuk di bawah jawatankuasa induk bagi memastikan persiapan berjalan lancar.
Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan bahawa perpaduan tidak lagi menjadi retorik semata-mata. Ia kini dizahirkan melalui tindakan, memberi peluang dan ruang kepada semua wilayah untuk menjadi wajah kepada negara. Sambutan yang bakal diadakan di PICCA@Arena Butterworth nanti bukan sekadar acara rasmi, tetapi manifestasi sebuah impian negara yang tidak mahu meninggalkan sesiapa pun di belakang.
Tahniah kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Hari Malaysia kali ini bukan hanya diraikan, tetapi dirasai. Dan Pulau Pinang adalah pentas paling ideal untuk menunjukkan apa itu ‘unity in diversity’.