Skip to content

150,000 komputer riba yang dijanji oleh Kerajaan Pusat lenyap, di mana pula 8,000 peranti yang dijanji oleh Kerajaan Negeri Johor?

Satu tahun selepas PdPR dilaksanakan, masih ada pelajar yang tidak mampu mengikuti PdP dalam talian oleh sebab tiada peranti yang sesuai.

Pada hari Sabtu yang lalu, saya telah menerima satu permintaan daripada seorang ibu. Sekeluarganya telah hilang pendapatan, anaknya yang berumur 8 tahun sudah tidak mengikuti PdP dalam talian selama 3 bulan oleh sebab peranti yang rosak.

Sebagai seorang ibu, pembelajaran anak adalah perkara yang paling penting bagi saya. Oleh yang demikian, saya telah menyerah sebuah tab yang baharu kepada adik tersebut pada hari keesokan.

Sejak PdPR dilaksanakan, saya telah menghadiahkan 65 tab ataupun komputer kepada keluarga B40.

Tetapi, isu yang lebih penting di sini adalah, di mana 150,000 komputer riba yang telah dijanji oleh Menteri Kewangan pada bulan November yang lalu? Mengapa penyerahan 150,000 buah komputer riba ini masih belum diselesaikan?

Bukan itu sahaja, di mana juga 8,000 peranti yang dijanji oleh Kerajaan Negeri Johor pada 10 Jun 2021 dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0? Satu bulan selepas pengumuman itu dibuat, berapa peranti telah diserah dan kepada siapa?

Penyerahan komputer riba yang sangat lambat dan kurang efisien oleh Kerajaan Pusat telah lama dikritik oleh orang ramai. Saya harap Kerajaan Negeri Johor tidak akan berulang kesilapan ini.