DAP akan mematuhi perjanjian bersama PKR, di mana DAP akan mencipta sejarah dengan bertanding di 30 kerusi dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang. Daripada 30 kerusi ini, DAP akan bertanding di 14 kerusi majoriti Cina dan 16 kerusi majoriti bukan Cina.
Sebagaimana perjanjian dengan pemimpin PKR, DAP telah mengorbankan kerusi baru Batu Kitang (yang merupakan pecahan sebahagian dari kerusi Batu Kawah dan Kota Sentosa) yang mana pada mulanya ditandingi oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
DAP akan memberikan sokongan penuh kepada calon wanita PKR, Voon Shiak Ni yang diumumkan oleh Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
DAP juga amat mengalu-alukan calon wanita Dayak pertama yang bakal bertanding di Pakan melawan gergasi politik, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan dan kami berharap beliau bakal menewaskannya.
Kami juga berharap bahawa PKR dan DAP akan bekerjasama dan saling membantu untuk memastikan kita mencapai kemenangan dan memenuhi matlamat bersejarah untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.
BN tidak galakkan pertarungan yang adil dengan melarang kemasukan pemimpin Pakatan Harapan ke Sarawak, bukan sekadar menghalang Ahli Parlimen dan ADUN, malahan menghalang pereka grafik maskot Burung Ubah, Ooi Leng Hang, EXCO Pulau Pinang dan Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh daripada masuk ke negeri itu.
Ini merupakan salahguna kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem. Malah, pendahulunya Taib Mahmud tidak sedemikian rupa seperti Tan Sri Adenan menyalahguna kuasa.
Tan Sri Adenan juga telah mencabar pihak pembangkang untuk berkempen dengan hanya membincangkan isu-isu tempatan dan tidak membawa isu-isu nasional dalam pilihanraya negeri ini. DAP menyahut cabarannya tetapi beliau juga perlu menjelaskan mengapa beliau tidak bangun mempertahankan rakyat Sarawak apabila kepentingan rakyat Sarawak tergugat.
Dua isu nasional yang telah menjejaskan rakyat Sarawak ialah:
- Pelaksanaaan GST – Jika Tan Sri Adenan boleh menyokong Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, beliau juga menyokong pelaksanaan GST. Bolehkah beliau meminta rakan baiknya itu untuk mengecualikan rakyat Sarawak dari membayar GST?
- Skandal mega RM50 bilion 1MDB – Dalam situasi di mana 1MDB tidak melakukan pembayaran, rakyat Malaysia perlu menanggung hutang tersebut. Jikalau hutang RM50 bilion itu dibahagikan di antara 30 juta rakyat Malaysia, ini bermakna setiap seorang terpaksa menanggung RM1,700. Bagi sesebuah keluarga yang memiliki 10 orang ahli, hutang yang terpaksa ditanggung ialah RM17,000. Adakah Tan Sri Adenan akan meminta Najib untuk mengecualikan rakyat Sarawak dari menanggung hutang tersebut sebanyak RM1,700 seorang?
Jika Tan Sri Adenan tidak boleh dan tidak mampu untuk meminta rakan karibnya Najib untuk mengecualikan rakyat Sarawak dari membayar GST danhutang 1MDB yang perlu ditanggung oleh rakyat, kedua-dua isu nasional ini akan terus dibincangkan sebagaimana isu-isu tempatan yang telah menjejaskan dan memberi impak kepada rakyat Sarawak.