Skip to content

Surat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Menteri Pengangkutan Malaysia mengenai perkhidmatan feri

PSUKPP/21/0353/3 Klt. 2 (6)

13 April, 2016

Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan Malaysia
Kementerian Pengangkutan Malaysia
No. 26, Jalan Tun Hussein, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYA

Yang Berhormat Dato’ Sri,

CADANGAN PENGAMBIL ALIHAN PERKHIDMATAN FERI PULAU PINANG OLEH KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Adalah saya merujuk kepada perkara tersebut di atas dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 30 Mac 2016 disahkan pada 6 April 2016.

2. Kerajaan Negeri telah meneliti semula cadangan untuk megambil alih pengurusan perkhidmatan feri daripada Penang Port Sdn. Bhd. Sehubungan dengan cadangan tersebut pada awalnya, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat termasuk dengan Kementerian Pengangkutan. Mesyuarat terakhir bagi membincangkan cadangan pengambilan tersebut telah diadakan pada 8 Januari 2016 yang di Pengerusikan oleh YBhg. Datuk Ruhaizah Mohamed Rashid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengangkutan. Susulan kepada mesyuarat tersebut Kerajaan Negeri juga telah meneliti beberapa dokumen tambahan yang diperolehi susulan dari mesyuarat tersebut untuk dipertimbangkan bagi cadangan pengambil alihan pengurusan perkhidmatan feri berkenaan.

3. Namun begitu, pihak Kerajaan Negeri bimbang tentang pengurusan dan pengawal seliaan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang mana akan menjejaskan pelaburan puluhan juta dalam perkhidmatan feri sekiranya berlaku campur tangan yang tidak berteraskan pengurusan perkhidmatan feri yang profesional. Adalah perlu SPPP dipimpin dan diuruskan secara profesional berdasarkan piawaian antarabangsa dan tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor atau unsur-unsur yang tidak relevan. Ini akan menghantui usaha pemulihan perkhidmatan feri dan hanya kembali semula ke mekanisma asal yang sudah gagal.

4. Setelah meneliti perkembangan semasa yang melibatkan pengurusan SPPP dan Penang Port Sdn. Bhd., Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menangguhkan cadangan pengambil alihan perkhidmatan feri tersebut ke satu tarikh yang akan diputuskan semula. Sehubungan dengan itu, bagi menentukan arah tuju cadangan pengambil alihan perkhidmatan feri tersebut, MMK bersetuju supaya perkara ini perlu dibincangkan terlebih dahulu di antara saya dengan YB Dato’ Sri. Perbincangan ini dicadangkan bagi membolehkan beberapa perkara utama yang berkaitan dengan peranan dan pengawal seliaan SPPP dapat diperjelaskan dan dihalusi bersama dengan YB Dato’ Sri.

5. Oleh itu selaras dengan keputusan MMKN berkenaan, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menangguh pengambil alihan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dari Penang Port Sdn. Bhd. dan menunggu YB Dato’ Sri untuk mengaturkan tarikh mesyuarat dengan saya.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang

s.k. :

[1] YB Dato’ Seri Farizan Bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Tingkat 25, KOMTAR
10502 PULAU PINANG