Saya rasa amat kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri kepada soalan lisan saya semalam. Saya telah meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah orang Hindu yang memeluk agama Islam pada tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2015. Saya juga meminta supaya menyatakan secara terperinci sebab-sebab mereka memeluk agama Islam dengan memberi fakta berlandaskan perangkaan.
Soalan saya melibatkan maklumat yang merangkumi seluruh Persekutuan. Soalan saya juga tidak bertujuan untuk menyakitkan hati mana-mana pihak. Saya hanya ingin mengetahui keadaan sebenar dan fakta-fakta berdasarkan statistik. Saya pasti kerajaan pusat mempunyai angka-angka yang saya perlukan itu.
Tetapi, Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom, Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri gagal memberi jawapan yang saya kehendaki. Beliau dalam jawapan bertulisnya menyatakan pendaftaran masuk Islam adalah di bawah bidang kuasa Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri (JAIN/MAIN) masing-masing sebagaimana bidang kuasa yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Sehubung itu, maklumat merngenai jumlah orang yang memeluk Islam hendaklah dirujuk kepada JAIN/MAIN.
Saya tidak dapat terima baik jawapan yang diberikan itu. Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang dikehendaki itu daripada setiap negeri untuk dijawab di Parlimen. Tetapi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak mahu mengeluarkan maklumat yang diperlukan. Saya rasa terkilan dan sangsi dengan jawapan yang diberikan oleh beliau. Jawapannya itu menambahkan syak wasangka seolah-olah ada sesuatu yang hendak ditutup.
Adalah tidak wajar dan mustahil untuk saya mendapatkan maklumat yang dikehendaki daripada setiap Jabatan/Majlis Agama Islam negeri, Oleh yang demikian, saya mendesak Jabatan Perdana Menteri untuk memberi jawapan yang dikehendaki dalam sesi sidang Parlimen kali ini juga. Adalah lebih mudah untuk Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan statistik itu daripada setiap negeri.