Isu SJKT Slim River menjadi semakin hangat. Pelbagai pihak yang berkepentingan telah menimbulkan rasa tidak puas hati tentang kecuaian pihak kerajaan membiarkan murid-murid menduduki di bangunan sekolah yang diklasifikasikan tidak selamat oleh pihak JKR. Sudah 5 tahun surat dikeluarkan oleh JKR Batang Padang yang disahkan oleh Jurutera Daerah.
Ibubapa telah menunjukkan rasa tidak puas hati dengan membuat protes di hadapan sekolah semalam. Saya difahamkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah juga telah membuat lawatan rasmi untuk melihat keadaan bangunan sekolah.
Memang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak bahawa bangunan sekolah SJKT Slim River berada dalam keadaan yang bahaya. Siapakah akan dipertanggungjawabkan jika sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku?
Kita tidak boleh bersikap cuai apabila melibatkan keselamatan 200 orang murid dan 22 orang guru. Tindakan segera perlu diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikan masalah ini.
Harap pihak kerajaan tidak memberi sebarang alasan untuk melengah-lengahkan tindakan. Kerja-kerja pembinaan semula bangunan yang rosak yang dimakan anai-anai perlu diberi keutamaan.
Saya telah memasukkan satu ucapan penangguhan di Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat semalam berhubung dengan isu SJKT Slim River. Saya berharap peluang diberi kepada saya untuk membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat pada minggu hadapan. Ini adalah penting kerana Menteri Pendidikan dapat menjelaskan keadaan dan mengumumkan tindakan-tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan dalam hal ini.